Wang RM500,000 dalam bagasi belum dituntut, pemilik syarikat tidak sihat
SHAH ALAM - Pengarah syarikat teknologi maklumat (IT) yang mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 adalah miliknya masih belum tampil kepada pihak polis untuk memberi keterangan atas faktor kesihatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya ada menerima satu laporan daripada pengarah syarikat terbabit.
"Malangnya sehingga sekarang dia (pemilik syarikat) masih belum tampil beri keterangan kepada Ketua Polis Balai Damansara.
"Kita (polis) masih belum dapat sahkan wang itu adalah milik syarikat terbabit," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.
Dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi itu, lima petugas media antara 31 penerima sijil penghargaan daripada Hussein.
Mengulas lanjut, ketika ditanya apa alasan diberi pengarah syarikat terbabit berikutan masih belum tampil, Hussein berkata, pengarah terbabit mendakwa dia sakit dengan menyerahkan sijil sakit.
Tambahnya, pihak polis sedang menunggu bukti, rekod dan sebagainya.
"Kita perlukan bukti kerana ia (wang tunai) tidak boleh dituntut begitu sahaja," ujarnya.
Minggu lalu, dalam sidang akhbar, Hussein memberitahu seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya menemui bagasi terbabit di tempat meletak kenderaan di premis tersebut, pada Rabu.
Pihak pengawal keselamatan itu kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu di IPD Petaling Jaya.
Pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!