Anggota polis ziarah ahli keluarga sebelum maut dipukul
SHAH ALAM - Keberadaan anggota polis di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang Sabtu lalu adalah untuk ziarah ahli keluarga, sebelum ditemukan maut dipercayai dipukul.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati anggota terbabit tinggal di Kuarters Polis Sungai Besi, Cheras.
"Mangsa dan isterinya ke pangsapuri itu untuk ziarah ahli keluarga sebelum dipercayai berlaku pertengkaran di antara mereka berdua.
“Jadi, mungkin tercetus pergaduhan dan kita masih siasat punca kejadian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.
Tambah Hussein, setakat ini lima individu telah ditahan dipercayai berada di tempat kejadian dan terlibat sama dalam pergaduhan atau memukul mangsa.
Katanya, hasil laporan bedah siasat mendapati anggota berkenaan maut kerana kecederaan di kepala akibat hentakan benda tumpul sama ada dipukul atau jatuh.
"Tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian dan polis harap orang awam yang melihat kejadian tampil untuk bantu siasatan,” ujarnya.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, lima lelaki berusia 19 hingga 23 tahun ditahan untuk siasatan kes terbabit.
Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mangsa yang maut adalah anggota polis berpangkat Koperal yang masih berkhidmat di Kontinjen Kuala Lumpur.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!