Draf peruntukan pembangkang: 'Tidak tahu apa-apa, tutup mulut'

Fahmi. Foto Bernama
Fahmi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mengingatkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya 'tutup mulut' sekiranya tidak mengetahui perkara berkaitan draf peruntukan pembangkang.

Malah Menteri Komunikasi itu menegaskan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah menafikan kewujudan draf perjanjian baharu seperti yang didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak pasti sama ada Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal) cetak draf sendiri, sebab sebelum ini dia pernah kata nak selesaikan masalah ekonomi kena cetak wang.

“Namun saya sudah semak dengan pejabat Perdana Menteri (bahawa) Ketua Setiausaha Politik tidak ada memberikan apa-apa draf dan beberapa setiausaha politik juga telah dihubungi. Setakat ini tidak ada (draf).

“Saya percaya Ahli Parlimen Machang mungkin rasa terpanggil untuk menyelamatkan keadaan kerana yang disebut oleh Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dalam Parlimen pada hari Khamis lalu ialah ada draf tetapi Timbalan Perdana Menteri melaporkan kepada Kabinet, tidak ada sebarang draf,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal menerusi hantaran di laman X mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi wakilnya sudah menyerahkan dokumen perjanjian kepada Hamzah.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berkata, tidak semua perkara perlu dimaklumkan Perdana Menteri kepada setiap orang disekelilingnya.

Dalam pada itu Fahmi menjelaskan, isu berkaitan draf berkaitan sudah dijelaskan oleh Fadillah dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya ada draf yang telah diberikan kononnya wakil Perdana Menteri, persoalannya mengapa tidak dibangkitkan dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri sedangkan itu salauran rasmi.

“Kita rujuk kepada yang rasmi dan saya rasa, jika Ahli Parlimen Machang tidak tahu apa-apa, dia harus menutup mulutnya,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!