Polis Pahang pantau 25 laluan utama kerap kemalangan
KUANTAN - Polis Pahang akan memantau 25 laluan utama di seluruh negeri yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan pada cuti musim perayaan Aidilfitri pada April depan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, seramai 228 pegawai dan anggota akan berada di lokasi terbabit bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan.
"Ada 25 lokasi titik hitam yang dikenal pasti, kita akan jalankan rondaan dan kawalan lalu lintas. Kita jangkakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) Bentong-Raub akan mengalami kesesakan.
"Oleh itu, saya minta mereka yang berdepan kesesakan supaya bersabar dan jangan memotong barisan," katanya.
Beliau demikian ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Kontinjen Pahang tahun ini di Dewan Badminton, Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar pada Isnin.
Seramai 31 penerima diberikan sijil penghargaan pada majlis tersebut.
Yahaya memberitahu, pihaknya meramal berlaku kesesakan lalu lintas bermula 5 April depan.
Justeru, pihaknya akan mengadakan Ops Lancar untuk memastikan keadaan berjalan lancar dan tidak menimbulkan kesesakan.
"Namun, kita jangkakan kesesakan (luar biasa) berlaku pada 13 dan 14 April apabila masing-masing akan pulang untuk kembali bertugas," katanya menasihati pengguna jalan raya sentiasa peka dan memandu secara berhemah ketika pulang menyambut Aidilfitri di kampung.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!