Pemandu bas kilang maut kereta terperosok bawah treler

Kereta yang dipandu mangsa terperosok di bawah treler dalam kemalangan maut di kawasan Perindustrian Lipat Kajang, di sini, pada Isnin.
Kereta yang dipandu mangsa terperosok di bawah treler dalam kemalangan maut di kawasan Perindustrian Lipat Kajang, di sini, pada Isnin.
A
A
A

JASIN - Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terperosok di bawah sebuah treler di kawasan Perindustrian Lipat Kajang, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian lebih kurang jam 7.39 pagi, mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas kilang, Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Wak Joe' meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu seorang warga emas berusia 60 tahun dari arah kilang kaca menuju ke jalan besar menghala ke Lipat Kajang.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian kenderaan berat itu telah keluar dari simpang manakala kereta dipandu mangsa dari arah Lipat Kajang menghala ke kilang kaca gagal mengelak lalu melanggar bahagian tengah treler terbabit.

"Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Siasatan di tempat kejadian juga mendapati jalan lurus, cuaca baik dan permukaan jalan kering," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, gambar dan video kemalangan tragis berdurasi 44 saat itu tular di media sosial yang turut memapar seorang wanita berbaju hitam bertindak memarahi seorang lelaki dipercayai pemandu treler berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!