Kertas Putih Pertahanan: Kajian separuh penggal ambil kira pandangan semua pihak
KUALA LUMPUR - Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) yang dilancarkan pada Februari lalu akan mengambil kira pandangan semua pihak dalam sesi libat urusnya bagi memastikan segala aspirasi yang dirancang dilaksanakan sebaiknya.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini termasuk mendapatkan pandangan dan input daripada pihak universiti seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
"Dalam kita membuat penilaian, ada banyak pengukuran yang kita harus lakukan kerana kita tahu tatkala kita laksana dan membincangkannya, ada beberapa faktor di luar jangkaan yang perlu dilihat terutama terkait dengan pertahanan siber, kecerdasan buaan (AI) dan perubahan iklim.
"Oleh itu dalam sesi libat urusnya, saya tidak nafikan semua pihak akan diambil kira pandangan mereka sebelum kita bentang hasil kajian itu ke Parlimen termasuk membawanya ke peringkat jawatankuasa,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu sama ada Ahli-Ahli Parlimen dan akademik dilibatkan sama dalam kajian separuh penggal terbabit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, KSP KPP akan memberi fokus kepada lima strategi khusus bagi meningkatkan pertahanan negara bukan sahaja dari segi fizikal malah sebagai persediaan menghadapi ancaman teknologi digital.
Menjawab soalan asal Ling mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan di bawah KSP bermula 2019 hingga 2023, Adly berkata kerajaan telah membuat beberapa perolehan aset bagi membangunkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdasarkan 10 keutamaan yang digariskan.
Ini meliputi perolehan aset-aset baharu seperti Maritime Patrol Aircraft, Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System, Light Combat Aircraft dan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) manakala perolehan aset-aset lain akan dilaksanakan di bawah RMK13.
Selain itu, kementerian dan ATM akan mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai Pertahanan Komprehensif melalui aktiviti kerjasama awam-tentera (Civil-Military Cooperation) secara berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan KPP, termasuk memperkasakan program bersama komuniti.
Beliau berkata, kementerian dan ATM memperkukuh perkongsian sedia ada dan mewujudkan perkongsian baharu dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara, luar rantau dan seantero dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, China, Jepun, Jerman, Korea Selatan dan Vietnam.
"Dalam masa terdekat kementerian akan menumpukan usahawa untuk terus megukuhkan kerjasama ASEAN, FPDA dan inisiatif-inisiatif subregional seperti melalui Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA),” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!