Mahkamah arahkan McDonald’s seluruh Sri Lanka ditutup

No Image Caption
A
A
A

COLOMBO - Restoran makanan segera, McDonald's ditutup di seluruh Sri Lanka pada Ahad ekoran syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu melancarkan tindakan perundangan terhadap pemegang francais tempatan atas dakwaan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Mahkamah Tinggi Komersial Colombo mengarahkan restoran terbabit ditutup sehingga 4 April depan selepas syarikat induk menuduh pemegang francais tempatan gagal memenuhi piawaian kebersihan antarabangsa.

"Perintah dikeluarkan untuk penutupan berkenaan sementara menunggu siasatan," kata seorang pegawai mahkamah berkenaan.

Beliau berkata, peguam mewakili McDonald's memberitahu mahkamah bahawa mereka sudah menamatkan perjanjian francais dengan syarikat tempatan, Abans minggu lalu.

Pendengaran kes dijadualkan bersambung pada awal April depan. Setakat ini, McDonald's atau Abans tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara berkenaan.

Abans telah memegang francais membabitkan sebanyak 12 outlet McDonald's sejak firma AS itu memasuki Sri Lanka pada 1998.

Sementara itu, kelihatan notis di luar outlet McDonald's pada Ahad yang menyatakan restoran berkenaan 'ditutup' tanpa makluman jika atau bila ia akan beroperasi semula.

Minggu lalu, semua restoran McDonald's di Sri Lanka dilaporkan tidak terjejas ketika berlaku masalah teknologi yang mengganggu tempahan di sebahagian besar Asia Timur. - AFP

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!