PDRM perlu lebih berani tangani isu rasuah - PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih berani dan tidak mensia-siakan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh pegawai dan anggota polis sebelum ini bagi menangani isu rasuah dengan lebih berkesan.
Menurutnya, selain Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), PDRM juga harus berani untuk menyelamatkan bangsa dan tidak mensia-siakan pengorbanan termasuklah warga polis yang terkorban.
"Namun saya percaya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi apabila rasuah menjadi sistemik, ia akan menghakis sendi kekuatan kita.
"PDRM ada keberanian untuk bertempur, malah ada keberanian untuk menyelamatkan bangsa," katanya ketika berucap sempena sambutan peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), dekat sini.
Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sementara itu, Anwar mengingatkan barisan kepimpinan PDRM agar tidak terlibat dengan mana-mana isu salah laku.
Menurutnya, ada dua pegawai tertinggi penguatkuasaan di buah negara jiran yang terlibat dengan isu perjudian dalam talian.
Katanya, kedua-duanya telah mengundurkan diri daripada jabatan setelah terperangkap dalam isu tersebut.
Beliau berkata, meskipun jenayah itu masih mampu dikawal oleh PDRM, namun ia bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh.
"Di Indonesia beberapa bulan lalu, ada tokoh kanan polis polis terbabit dalam jenayah judi dalam talian dan dua hari lalu, ketua dan timbalan polis terpaksa berundur kerana juga terbabit dalam kes sama.
"Saya beri amaran bukan mahu takutkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain), tetapi Alhamdullilah Malaysia masih dalam tahap membanggakan.
"Jenayah komersial ini adalah sesuatu ancaman baharu dan lebih canggih," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!