Pencemaran: Kualiti air Sungai Raja Hitam meningkat
GOPENG - Tahap pencemaran di Sungai Raja Hitam dekat Ayer Tawar, Manjung kini berada pada Kelas Tiga dalam bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) berbanding Kelas Lima pada 2022.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, dapatan itu diperolehi hasil pemantauan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun ini.
Menurutnya, meskipun berlaku peningkatan, tahap itu masih memerlukan rawatan intensif segera kerana tidak lagi boleh digunakan untuk bekalan air kepada penduduk.
"Hasil pemantauan terkini pada 2024, status kualiti air Sungai Raja Hitam meningkat daripada Kelas Lima kepada Kelas Tiga. Ini menunjukkan kualiti air sungai sudah bertambah baik.
"Begitupun pemantauan rapi masih diteruskan di sepanjang jajaran sungai berkenaan mengikut bidang kuasa JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berisiko terbakar di Kawasan Perindustrian Gopeng di sini pada Isnin.
Untuk rekod, sungai yang berada dalam Kelas Tiga mempunyai bacaan IKA antara 51.9 hingga 76.5 iaitu air memerlukan rawatan tambahan.
Pada 15 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Sungai Raja Hitam menjadi satu-satunya sungai paling tercemar di Malaysia apabila berada di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2022.
Sungai yang mempunyai IKA 30 itu juga pernah diklasifikasikan tercemar teruk yang sumber airnya hanya boleh digunakan bagi tujuan pengairan pada tahun 2019.
Mengulas lanjut, Kok Lim berkata, dua kilang pemprosesan minyak sawit mentah yang dikatakan menjadi punca pencemaran teruk air di sungai tersebut telah dikenakan tindakan termasuk kompaun RM85,000.
Katanya, penguatkuasaan oleh JAS dilakukan sejak 2007 itu membabitkan 43 kompaun, 13 notis arahan dan lapan tindakan mahkamah dengan penalti RM68,000.
"Terdapat juga kewujudan sebilangan besar kolam-kolam ternakan ikan dan udang sepanjang jajaran sungai ini yang menyumbang kepada beban pencemaran.
"Bagaimanapun penguatkuasaan JAS adalah ke atas efluen perindustrian, kumbahan serta larut resap dari stesen pemindahan sisa pepejal dan kambus tanah.
"Tiada peruntukan khusus di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi penguatkuasaan ke atas pelepasan sisa aktiviti penternakan," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah JAS Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pihaknya sedang merangka kertas kerja terhadap perubahan syarat pelepasan sisa perindustrian hiliran ke alur air daripada Standard B kepada Standard A.
Katanya, cadangan itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) tahun ini untuk kelulusan sama seperti terpakai di beberapa negeri lain antaranya Johor, Sabah dan Sarawak.
"Selepas ini, semua industri hiliran perlu patuhi standard pelepasan baru ini bagi memastikan sungai dalam keadaan baik dan bersih serta tidak terbeban dengan sumber pencemaran," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!