Kerajaan sedia pertimbang bantu Jasmine Suraya - Fahmi
KERAJAAN sedia mempertimbang langkah untuk membantu pelakon wanita, Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 35, menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg, Los Angeles di Amerika Syarikat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedia membantu Jasmine Suraya sekiranya perkara yang dikemukakan adalah bersesuaian.
"Saya perlu kaji dulu dan lihat apa yang kita boleh bantu tetapi saya faham memang kebiasaannya untuk sesiapa yang melanjutkan pengajian dalam bidang seni atau dalam sebarang jurusan perfileman, muzik, teater, seni lukis dan sebagainya bukanlah satu usaha yang mudah atau murah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Ramadan CSR dan Iftar Perdana Lembah Pantai bersama Foodpanda Malaysia dan rakan kolaborasi di IWK Eco Park@Pantai Dalam pada Sabtu.
Sebelum ini, Jasmine Suraya dilapor terpaksa menjual beberapa barangan peribadi termasuk kereta bagi menanggung kos pengajiannya selama setahun di Los Angeles dengan perbelanjaan RM400,000 bermula April depan.
Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang diterima masuk ke Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!