World #QuranHour 1445H angkat tema Ummah #GrandReset
SHAH ALAM - World #QuranHour kesembilan yang berlangsung pada 4 April tahun ini akan mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, pendekatan Ummah #GrandReset itu menyasarkan perubahan kesatuan dan sosial bagi umat Islam dengan tiga objektif iaitu Ulama, Umara dan Ummah sebagai formula menuju kemenangan akhir zaman.
“Kita mengharapkan pendekatan Ummah #GrandReset itu tidak berakhir di kempen sahaja sebaliknya dilakukan di peringkat termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kumpulan Karangkraf sendiri, dengan panduan surah al-Jumu’ah.
"Surah al-Jumu'ah memberikan panduan kepada kita bahawa berkumpulnya ummah di masjid, mendengar khutbah dan solat kemudian mereka bertebarlah di muka bumi, bagi menjana ekonomi dan kekuatan ummah.
“Ada empat nama Asmaul Husna yang disebut dalam surah al-Jumu’ah bermula dengan Al-Malik, Al-Quddus, Al-Aziz, dan Al-Hakim, dari situ bagaimana proses ‘reset’ itu dilakukan oleh Rasulullah SAW setiap hari Jumaat melalui tilawah, penyucian jiwa serta melalui sifat-sifat yang ada, maknanya taklim al-kitab dan taklim al-hikmah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Taklimat Sinergi Media World #QuranHour 1445H/2024 di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Surah al-Jumu'ah adalah salah satu daripada tujuh surah musabbihat dengan menjadikan hari Jumaat, hari perkumpulan umat Islam setiap minggu sebagai momentum penting bagi transformasi minda ummah seluruh dunia.
World #QuranHour 1445H/2024 akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, pada 4 April ini bersamaan 24 Ramadan 1445H.
Dalam pada itu, ujar Marhaini, penglibatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam World #QuranHour kali ini juga dapat memberi semangat kepada orang ramai untuk turut sama melakukan transformasi dalam diri dan keluarga.
“Alhamdulillah pada tahun ini keberangkatan Raja Permaisuri Agong akan bersama-sama dengan kita di Masjid Negara, Kuala Lumpur sempena program tersebut.
“Ini amat bermakna untuk kita kerana sejak beberapa tahun lepas kita telah mula mengundang istana dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini sebab sultan dan raja merupakan payung agama,” ujarnya.
Turut hadir, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim dan Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman.
Antara media dan badan organisasi yang hadir pada majlis berkenaan ialah Astro Awani, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Berita Harian TV3, Bernama, Nu Ideaktiv dan Masjid Negara.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!