Geng Yan aktif pecah rumah tumpas

Mohd Zaidi menunjukkan kenderaan yang dirampas pihak polis pada Isnin, dalam siri tangkapan membabitkan kumpulan pecah rumah Geng Yan di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Mohd Zaidi menunjukkan kenderaan yang dirampas pihak polis pada Isnin, dalam siri tangkapan membabitkan kumpulan pecah rumah Geng Yan di Kota Kinabalu baru-baru ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis daerah ini berjaya menyelesaikan 29 kes pecah rumah dengan menumpaskan kumpulan jenayah yang dikenali sebagai 'Geng Yan' baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kumpulan aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak Oktober tahun lalu dianggotai enam lelaki tempatan yang diketuai seorang lelaki berusia 37 tahun.

"Geng Yan ini didapati telah melakukan 15 kes pecah rumah di Kota Kinabalu dan Kota Marudu manakala 14 lagi kes dilakukan secara bersendirian oleh ahli kumpulan atau bersama rakan yang lain menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 29 kes pecah rumah.

"Jumlah kerugian yang terlibat ialah sebanyak RM636,000 membabitkan wang tunai RM283,000 dan barang berharga seperti jam tangan mewah dan berjenama, telefon bimbit, komputer riba, televisyen dan sebagainya yang berjumlah RM353,000.

"Selain itu dua kenderaan pacuan empat roda bersama empat peti besi turut dilarikan suspek dari rumah yang dipecah masuk," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini pada Isnin.

Katanya lagi, modus operandi kumpulan terbabit adalah dengan mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni sebelum melakukan pecah rumah.

"Ahli kumpulan akan menggunakan pelitup muka, memakai jaket berhud dan sarung tangan bagi mengelak atau mengelirukan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Peti besi yang berjaya dirampas selepas dilarikan Geng Yan dalam kejadian pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini.
Peti besi yang berjaya dirampas selepas dilarikan Geng Yan dalam kejadian pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini.

"Kumpulan ini juga akan memecahkan pintu utama dengan menggunakan alat seperti kuku kambing dan biasanya aktiviti pecah rumah dilakukan pada sebelah malam," katanya.

Bagaimanapun, taktik kumpulan ini tidak berhasil apabila polis berjaya mengesan dua kesan cap jari dalam satu tempat kejadian membabitkan sebuah firma guaman di Karamunsing yang kehilangan wang tunai RM50,000 dan barang berharga bernilai RM200,000.

"Hasil aduan, kita menjalankan siasatan yang rapi di lokasi dan berjaya menimbulkan dua kesan cap jari di mana salah satu daripadanya milik ketua kumpulan tersebut dikenali sebagai Yan.

"Hasil siasatan berjaya menahan suspek di Pekan Manggatal pada 12 Mac lalu dan beberapa siri tangkapan turut dibuat membabitkan empat lagi ahli kumpulannya yang berusia antara 34 hingga 40 tahun manakala seorang lagi suspek berusia 29 tahun masih bebas dan usaha mengesan sedang dilakukan," katanya.

Susulan tangkapan itu, Mohd Zaidi memaklumkan pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan hasil daripada jenayah pecah rumah yang bernilai hampir RM200,000.

"Antara barang yang berjaya dirampas termasuk peti besi yang dibuang di Sungai Darau, Tuaran dan kenderaan pacuan empat roda yang dicuri.

"Kita juga merampas dua kenderaan yang dibeli secara tunai hasil daripada jualan barang yang dicuri dalam kegiatan mereka," katanya.

Tambah Mohd Zaidi lagi, semua suspek mempunyai kesalahan lampau masing-masing dan didapati turut positif dadah jenis syabu.

"Kumpulan ini merupakan ahli daripada 'Geng Gurun' yang pernah ditumpaskan pada tahun lalu di mana ada anggotanya masih dalam perbicaraan di mahkamah tetapi aktif semula dengan menggunakan nama Geng Yan dan kita berjaya tumpaskan untuk kali kedua.

"Cuma Yan ini mengambil alih kumpulan sebagai ketua di mana Gurun telah didapati bersalah serta ditahan di penjara selama tiga tahun.

"Ketika ditahan kesemuanya positif dadah dan mereka juga menggunakan hasil pecah rumah ini untuk membeli dadah, berjudi serta membeli kenderaan yang digunakan untuk melakukan pecah rumah.

"Semua suspek telah ditahan reman bermula 12 hingga 31 Mac ini untuk kita melengkapkan siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!