[VIDEO] Isu draf peruntukan, kami tak berbohong - Wan Ahmad Fayhsal
KUALA LUMPUR - Pembangkang sekali kali menegaskan ada menerima draf perjanjian peruntukan ahli Parlimen daripada kerajaan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perbincangan mengenai draf berkenaan merupakan tanggungjawab Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
"Bagi yang menyatakan draf itu ada atau tidak, saya boleh sahkan memang ada pada awalnya.
"Sama ada pihak kerajaan dimaklumkan atau tidak, itu saya tidak tahu. Tanyalah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Di peringkat kami, kami tidak menipu. Kami tidak membuat penipuan terhadap rakyat tentang perbincangan peruntukan ini.
"Kami tidak berbohong, ini fakta.
"Ketua Whip boleh sahkan, beliau lebih terbabit secara langsung," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Takiyuddin di bangunan Parlimen pada Isnin
Sebelum ini Hamzah dilapor memaklumkan, pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimennya.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam respons menafikan tentang kewujudan draf berkenaan.
Rentetan itu, Wan Ahmad Fayhsal menerusi hantaran di platform X mendakwa Perdana Menteri menerusi wakilnya sudah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Hamzah dengan mengandaikan tidak semua perkara perlu dimaklumkan Anwar kepada orang di sekelilingnya.
Dakwaan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu walau bagaimanapun ditempelak jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dengan memintanya untuk berdiam diri jika tidak mengetahui isu berkenaan.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, tindakannya itu hanya mempertahankan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dinafikan hak untuk mendapat peruntukan.
"Saya tidak pasti kenapa beliau beremosi sangat sedangkan saya menjawab tohmahan yang dilontarkan ahli-ahli Parlimen kerajaan yang mengatakan pihak PN membuat fitnah berkenaan peruntukan ini," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!