'Seri bagus, menang amat baik'

Pan-gon. Foto FB FAM
Pan-gon. Foto FB FAM
A
A
A

MALAYSIA bertekad memperagakan aksi terbaik dengan misi mencuri satu mata dalam saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon optimis para pemain sudah melupakan kekalahan pada aksi pertama lalu sambil melaungkan keyakinan untuk bangkit lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

Beliau berkata, meskipun kekurangan match fitness dan berdepan kekangan masa untuk meningkatkan tahap kecergasan, namun para pemain mempunyai semangat juang tinggi untuk berdepan lawan yang mempunyai ranking lebih baik.

“Kekurangan aksi kompetitif memberikan kesan kepada tahap kecergasan pemain. Kami fokus menjalani proses pemulihan fizikal dan perbaiki kesilapan hasil daripada perlawanan lalu.

“Aksi esok (Selasa) sangat penting dan mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri. Kami mahu berjuang untuk memberikan aksi dan keputusan terbaik.

“Sekiranya kita berjaya mencuri satu mata amat bagus menentang pasukan ke-80 dunia, tiga mata pastinya amat baik. Apa pun kami mahu mendapatkan mata menentang Oman,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Pan-gon juga mahu skuad tidak memandang mudah cabaran Oman yang sudah pasti mahu mengekalkan momentum positif selepas meraih kemenangan di Muscat minggu lalu.

Malah beliau juga berharap para peminat membanjiri stadium keramat Harimau Malaya untuk memberi sorakan padu kepada pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Oman merupakan pasukan yang baik, lebih kuat daripada Malaysia. Oman pasti mahu kekal di tangga teratas kumpulan. Aksi ini juga penting dan kami tidak mahu bertahan, sebaliknya lebih pantas dan memberikan aksi mengujakan buat penyokong.

“Pemain teruja untuk layak ke pusingan seterusnya dan semangat mereka berkobar-kobar sambil mengharapkan sokongan peminat untuk kita sama-sama berjuang,” ujar Pan-gon.

Beliau turut menjelaskan bahawa tiada pemain negara yang mengalami kecederaan dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan itu, namun situasi padang juga menjadi tanda tanya buat pasukan.

“Saya belum melihat keadaan padang dan 'technicians' (kontraktor) sudah berjanji pada hari perlawanan semuanya dalam keadaaan baik.

“Jadi kami perlukan padang yang baik dan kita akan lihat esok (Selasa),” ujarnya.

Malaysia yang menghuni ranking ke-132 dunia berkongsi enam mata dan berada di kedudukan ketiga di belakang Kyrgyzstan, manakala Oman memimpin kumpulan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!