Sembilan hilang akibat tanah runtuh, banjir di Indonesia
JAKARTA - Sekurang-kurangnya sembilan warga Indonesia dilaporkan hilang dan lebih 200 lain dipindahkan selepas tanah runtuh dan banjir melanda perkampungan di Pulau Jawa.
Kampung Cibenda di Jawa Barat ditenggelami air sejurus sebelum tengah malam pada Ahad ekoran hujan lebat berjam-jam ketika ramai penduduk kampung sedang tidur.
"Sembilan orang dilaporkan hilang dalam banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Bandung Barat pada malam Ahad. Dua lain yang cedera sudah dibawa ke klinik," kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Negara, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kira-kira 250 penduduk tempatan dipindahkan ke dewan dan sekolah yang dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara selepas puluhan rumah rosak.
Indonesia terdedah kepada bencana tanah runtuh ketika musim hujan dan masalah itu menjadi lebih teruk di beberapa tempat dengan penebangan hutan.
Hujan lebat berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu. Awal bulan ini, banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan ramai yang masih hilang.
Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan puluhan rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera pada Disember serta mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!