Ubat China bernilai RM100,000 dirampas

Antara ubat yang dirampas dalam operasi itu (kiri), Ubat dipercayai dari negara China yang dijual individu itu menerusi dalam talian.
Antara ubat yang dirampas dalam operasi itu (kiri), Ubat dipercayai dari negara China yang dijual individu itu menerusi dalam talian.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) berjaya mematahkan aktiviti penjualan ubat tidak berdaftar dari negara China secara dalam talian yang dianggarkan bernilai RM100,000 pada awal bulan ini.

Pengarahnya, Dr Ruzita Mustaffa berkata, berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya telah menyerbu ke sebuah premis di daerah Melaka Tengah, menerusi operasi Ops Tembok yang dipercayai didalangi dua lelaki masing-masing berusia antara 20-an dan 50-an.

Menurutnya, siasatan awal yang dilakukan mendapati individu terbabit merupakan pemilik premis mengakui aktif menjual ubat termasuk antifungal dan antibiotik serta produk kosmetik yang disyaki berasal dari negara China secara dalam talian.

"Pemeriksaan yang dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) pada 5 Mac lalu menemui produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM100,000.

"Selain itu turut dirampas dua peranti digital yang digunakan bagi tujuan menjual dan mengiklankan ubat terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Ruzita berkata, mereka yang didapati terlibat menjual produk dan kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

"Justeru mana-mana individu atau syarikat yang menjual atau menggunakan produk ubat dan kosmetik yang melanggar undang-undang agar seger menghentikan perbuatan itu.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membeli ubat atau kosmetik dari media sosial atau secara dalam talian yang tiada jaminan kualiti dan keselamatannya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!