Resolusi gencatan senjata baharu di Gaza, UNSC undi hari ini

UNSC akan menjalankan undian terhadap resolusi AS untuk gencatan senjata di Gaza hari ini. - Foto AFP
UNSC akan menjalankan undian terhadap resolusi AS untuk gencatan senjata di Gaza hari ini. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengundi pada Isnin berhubung draf resolusi baharu gencatan senjata di Gaza.

Resolusi baharu itu dirangka selepas Rusia dan China menggunakan kuasa veto mereka untuk membantah resolusi dicadangkan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Pendirian majlis itu berbelah bahagi berhubung perang Israel-Palestin sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dan hanya meluluskan dua daripada lapan resolusi - kedua-duanya berkaitan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang musnah.

AS selaku anggota tetap UNSC dan sekutu utama Israel, menyokong hak regim Yahudi itu untuk mempertahankan diri berikutan serangan mengejut Hamas, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, dengan krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing, AS terpaksa menilai semula sokongannya kepada Israel yang bertindak semakin ganas memerangi kumpulan pejuang Palestin, mengakibatkan orang awam Palestin menjadi mangsa.

Pada Jumaat lalu, UNSC mengundi draf dikemukakan AS, yang menggesa gencatan senjata disegerakan seiring dengan pembebasan tebusan yang diculik Hamas.

China dan Rusia menggunakan kuasa veto bagi membantah resolusi itu serta mengkritik AS kerana teks berkenaan tidak memberi perincian yang jelas terutamanya tuntutan terhadap Israel untuk menghentikan sama sekali kempen perangnya.

Berdasarkan draf resolusi baharu yang dilihat AFP, ia menuntut gencatan senjata segera diisytiharkan sepanjang bulan suci Ramadan, yang menjurus kepada gencatan senjata secara kekal.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ia turut menggesa pembebasan semua tebusan dan memudahkan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Teks itu dikemukakan pada hujung minggu lalu oleh anggota tidak tetap UNSC yang bekerja dengan AS, untuk mengelakkan diveto, kata beberapa orang diplomat kepada AFP, yang enggan identitinya didedahkan.

"Kami menjangkakan, kecuali ada perubahan saat akhir, resolusi itu akan diterima pakai dan AS tidak akan menggunakan kuasa veto bagi membantahnya," kata seorang diplomat kepada AFP. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!