Kontrak kerajaan babit edaran beras, guna beras import mulai April
KUALA LUMPUR - Sebarang kontrak kerajaan melibatkan pengedaran beras akan menggunakan beras putih import mulai April ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, usaha itu sebagai langkah intervensi oleh kerajaan bagi memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) mencukupi di pasaran.
"Maka 20,000 tan metrik BPT akan ada dalam pasaran. Begitu juga dengan stok (BPT) yang masih ada, kepada pengilang kita arahkan supaya ia dikilangkan dan dikeluarkan beras itu untuk digunakan orang awam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara pada Isnin.
Menurut Mohamad, negara kini mengeluarkan kira-kira 62 peratus BPT, manakala selebihnya adalah hasil beras putih import.
"Dalam 62 peratus itu antaranya (diedarkan kepada) asrama polis, asrama tentera, sekolah berasrama penuh dan zakat fitrah juga menggunakan BPT. Maka, dalam edaran (pasaran) yang ada hanya tinggal lebih kurang 50 peratus BPT,” katanya.
Mengenai isu kekurangan BPT, Mohamad berkata, situasi itu berpunca daripada perubahan corak permintaan pengguna susulan peningkatan harga beras putih import.
"Kenaikan harga beras import disebabkan tekanan daripada ketidaktentuan harga beras global dan polisi negara sumber yang membataskan eksport ke luar negara.
"Selain itu, faktor pengukuhan Dolar Amerika Syarikat berbanding Ringgit Malaysia turut menyumbang kepada situasi ini,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!