Tiada pergolakan dalaman PKR Sabah, hanya krisis keluarga - Sangkar
KOTA KINABALU - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Sangkar Rasam menolak wujud pergolakan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah sebaliknya menganggap ia hanya krisis keluarga yang boleh diselesaikan secara bersama.
Menurutnya, situasi PKR Sabah ketika ini sama seperti biasa dan beliau masih memegang jawatan sebagai Pengerusi MPN Sabah yang sah mengikut perlembagaan.
"Tiada pergolakan sebenarnya, hanya di media sosial saja. Perselisihan dalam parti itu memang biasa tapi dalam perjuangan kita perlu ada satu matlamat yang perlu kita gapai bersama bukan untuk kepentingan individu tetapi kepentingan bersama, maksudnya kita berjuang bersama.
"Jadi mungkin krisis begini, krisis keluarga dan dalam keluarga pun kita ada masalah. Maksudnya, kita anggaplah ini keluarga PKR yang besar begini mustahil tiada masalah.
"Jadi pandailah kita sebagai ketua untuk kita urus bersama supaya kita bergabung dan bekerja bersama," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Isnin.
Beliau sebelum itu tiba dari Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Ditanya mengenai tindakan 15 Ketua Cabang yang menolak kepimpinan beliau, Sangkar menganggap tidak semua menyatakan keputusan yang sama.
"Kalau kamu percaya 15 itu, saya pun tidak tahulah. Sebab belum pasti semua itu, hanya mungkin sebab masing-masing ada kepentingan sendiri. Pada saya 15 atau 20 perlu bergabung untuk kepentingan parti.
"Lantikan hanya boleh dilakukan oleh Presiden saja jadi tiada masalah. Saya tidak tahu (tuntutan untuk letak jawatan), itu di luar kawalan, orang yang bercakap," katanya.
Beliau dalam pada itu menegaskan semua pihak harus bersatu dan berganding bahu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kita bersama teruskan perjuangan dalam parti, parti ini parti kita dan kita perlu berganding bahu dalam perjuangan untuk menuju PRN akan datang ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!