Empat penyerang di Moscow hadapi dakwaan keganasan

Dari kiri: Dalerdzhon Mirzoyev, Saidakrami Murodali Rachabalizoda, Shamsidin Fariduni dan Muhammadsobir Fayzov.
Dari kiri: Dalerdzhon Mirzoyev, Saidakrami Murodali Rachabalizoda, Shamsidin Fariduni dan Muhammadsobir Fayzov.
A
A
A

MOSCOW - Empat lelaki yang terlibat insiden serangan ke atas dewan konsert di ibu kota Rusia yang meragut 137 nyawa berdepan tuduhan keganasan ketika seluruh negara sedang berkabung pada Ahad.

Jurucakap Mahkamah Daerah Basmanny di Moscow memaklumkan, keempat-empat tertuduh warga Tajikistan itu kekal dalam tahanan sehingga 22 Mei depan dan tempoh pelanjutan bergantung kepada tarikh perbicaraan.

Pihak berkuasa mendedahkan identiti mereka sebagai Dalerdzhon Mirzoyev, Saidakrami Murodali Rachabalizoda, Shamsidin Fariduni dan Muhammadsobir Fayzov.

Kesemuanya tampil dengan wajah lebam akibat dipukul setelah video sesi soal siasat yang agak agresif dibocorkan pasukan keselamatan Rusia.

Terdapat laporan mendakwa salah seorang daripadanya juga mengalami renjatan elektrik bagi memaksanya membuka mulut.

Mahkamah memberitahu, dua daripada defendan mengaku bersalah dan seorang mengakui 'kesalahan sepenuhnya' manakala seorang lagi tertuduh tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak sedarkan diri.

Dakwaan itu dibuat sehari selepas Presiden Vladimir Putin berikrar mahu menghukum dalang bertanggungjawab setelah empat lelaki bersenjata berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri ke Ukraine.

Sehingga kini, Putin tidak menuding jari menyalahkan Daesh mendalangi serangan menggemparkan itu yang disifatkan paling berdarah sejak 2004.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tiada kenyataan tentang nasib tujuh lagi suspek yang ditahan dan dipercayai ada kaitan dengan kejadian tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Situasi Kecemasan di Moscow telah mengenal pasti identiti 29 mangsa di Dewan Bandaraya Crocus itu, namun kesan melecur teruk menyukarkan proses tersebut.

Selain itu, lebih 5,000 orang dilaporkan sanggup beratur panjang di luar klinik untuk menderma darah kepada lebih 100 mangsa cedera termasuk beberapa yang kritikal.

Susulan tragedi itu, pemerintah Perancis bertindak menaikkan amaran keganasan kepada tahap tertinggi, beberapa bulan sebelum negara itu menganjurkan Sukan Olimpik.

Keputusan itu membenarkan langkah keselamatan luar biasa seperti rondaan lebih kerap di tempat awam seperti stesen kereta api, lapangan terbang dan rumah ibadat. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!