Isu stoking tak perlu berminggu-minggu - Anwar

Anwar beramah mesra bersama orang ramai ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani 2024 Bersama Perdana Menteri di Kolej Polytech Mara, Meru, Ipoh hari ini. Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama orang ramai ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani 2024 Bersama Perdana Menteri di Kolej Polytech Mara, Meru, Ipoh hari ini. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat supaya tidak menjadi hakim dengan membuat keputusan sendiri berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Beliau berkata, isu tersebut perlu diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasat diikuti proses pendakwaan dan mahkamah untuk dijatuhkan hukuman.

Menruutnya, fokus rakyat kini perlu terarah kepada isu-isu yang lebih besar berbanding soal perbezaan pandangan.

"Dunia ini sekarang bersaing sengit dalam menguasai AI (kecerdasan buatan), digital, peralihan tenaga dan kita masih bergelut dalam soal-soal perbezaan pendapat timbul permusuhan. Tak perlu.

"Kalau kes stoking, saya beritahu tadi siasat, kalau betul salah, tangkap dan dakwa. Tutup buku maju terus.

"Janganlah sampai berminggu-minggu semua nak jadi pahlawan-pahlawan, kerja tak jalan.

"Negara tidak maju jika asyik bergaduh berminggu-minggu tentang satu tajuk, stoking. Habis (isu) stoking, (isu) kantin.

"Bukan maksud saya nak remehkan, tidak boleh sama sekali sesiapa menghina apatah lagi agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ini berlaku, saya beritahu siasat, tangkap, dakwa dan hakim memutuskan (hukuman) tetapi negara tidak boleh diheret," katanya menyampaikan ucapan.

Beliau berucap sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun meminta semua pihak bersikap rasional berhubung isu tersebut.

"Jangan disalahkan semua orang, jangan dipulaukan semua kedai.

"Yang siasat itu polis, yang mendakwa itu Jabatan Peguam Negara dan yang akan menghukum itu mahkamah. Kita ini menyeru mendesak dan pencadang.

"Jangan kita jadi penyiasat, kita jadi pendakwa, kita penghukum. Ini masalah di negara ini. Janganlah baca dalam TikTok, terus hukum. Ini jadi masalah dalam negara kita," katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur berkata, kerajaan tidak campur tangan terhadap sebarang proses siasatan berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH oleh KK Mart cawangan Bandar Sunway di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan memberi laluan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menyifatkan isu itu bukanlah boleh diselesaikan melalui sebarang tindakan oleh gerombolan berasingan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!