Perak bakal jadi negeri maju utama negara

Anwar (kanan) disambut Saarani (kiri) ketika menghadiri pertemuan bersama anggota kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Anwar (kanan) disambut Saarani (kiri) ketika menghadiri pertemuan bersama anggota kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Perak bakal menjadi negeri maju utama di pantai barat Semenanjung Malaysia melalui pelaksanaan tiga projek mega di Tanjung Malim, Lumut dan Kerian.

Tiga projek itu ialah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan merancakkan pertumbuhan projek tersebut, beberapa prasarana asas, keperluan tenaga dan air perlu dibangunkan secara pantas serta berkesan.

"Perak jika kita tuntas dengan program dan penekanan dasar yang telah diputuskan, saya percaya dalam beberapa tahun lagi Perak muncul sebagai negeri maju utama di pantai barat. Ini kerana tiga daripada projek raksasa Malaysia berpangkalan di Perak.

"Perak di pantai barat selama ini agak sedikit ke belakang tetapi mutakhir ini dengan kesungguhan kerajaan negeri terutamanya dengan tiga program raksasa ini, saya yakin insya-ALLAH akan mengangkat Perak di antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara kita," katanya menyampaikan ucapan.

Beliau berucap sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sementara itu Anwar berkata, menerusi beberapa siri pertemuan dengan pemimpin antarabangsa memperlihatkan terdapat persepakatan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar mikrocip di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini suatu yang sangat membanggakan kita. Ini juga tidak menghalang kita dalam menyuarakan pandangan kita secara bebas.

"Suara lantang kita tidak langsung menghalang minat syarikat Amerika, Jerman dan lain-lain untuk terus menjadikan Malaysia sebagai hab," katanya.

Anwar dalam pada itu turut yakin masalah kemiskinan tegar di Perak akan dapat dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan.

Terdahulu, Anwar memulakan lawatan kerja ke Perak dengan pertemuan bersama Saarani dan anggota kerajaan negeri di Bangunan Seri Ridzuan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!