Kahf, Emina Cosmetics penyeri Iftar Ala Madinah
SHAH ALAM - Penglibatan jenama penjagaan kecantikan, Kahf dan Emina Cosmetics menjadi penyeri program Iftar Ala Madinah @Karangkraf sehingga Jumaat ini apabila turut mengedarkan 300 bungkusan cenderamata kepada pengunjung bertuah.
Wakil Kahf, Muhammad Harraz Adzimul Asri berkata, pemberian tersebut adalah sebagai tanda penghargaan buat pengguna produk di bawah Paragon Technology and Innovation (Paragon) yang tidak putus-putus menyokong jenama tersebut selama ini.
Malah menurutnya, ia merupakan antara usaha pihaknya untuk memperkenalkan rangkaian produk Kahf, Emina Cosmetics dan Wardah Beauty dengan lebih meluas menerusi kempen ‘Teruskan Langkah Baikmu’ sepanjang bulan Ramadan.
“Hari ini kami berkongsi cenderamata untuk orang ramai terutamanya pengguna produk, tetapi ia terhad kepada 300 pengunjung terawal sahaja.
“Selain pemberian tersebut, kami juga akan adakan sesi perkongsian bermanfaat daripada beberapa pempengaruh dan ustaz ternama.
“Antaranya ialah Dayah Bakar dan PU Amin yang bakal berkongsi ilmu serta kisah tauladan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang bermula sejak 13 Mac lalu dan kini dibuka kepada 2,000 penyertaan mampu memberikan peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.
Program berkenaan turut menampilkan penceramah bebas iaitu PU Hafiz yang berkongsi kisah Ramadan dan input-input penting kepada pengunjung sambil menunggu waktu berbuka puasa.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Muhammad Harraz mengakui ia agak memberangsangkan apabila hebahan yang telah dibuat sejak awal Ramadan lalu menuai reaksi positif daripada masyarakat.
“Kami ambil maklum memang ramai yang dijangka hadir berbuka puasa di sini, jadi saya harap semoga semuanya berjalan lancar.
“Walaupun hujan lebat tetapi pengunjung tetap ramai untuk berbuka puasa bersama-sama.
“Jadi, saya ambil kesempatan ini meminta orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk datang memeriahkan Iftar Ala Madinah dan hadir ke reruai Wardah Beauty, Kahf serta Emina Cosmetics yang dibuka sehingga Jumaat ini,” ujar pemuda itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!