Jangan ambil tindakan sendiri dalam sebarang isu - KDN
PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam sebarang isu di negara ini termasuk penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana hanya Polis Diraja Malaysia, yang merupakan agensi penguat kuasa terbesar negara, dibenar mengambil tindakan dan sebagainya.
"(KDN) tidak benarkan mana-mana pihak ambil tindakan sendiri. Kalau keadaan itu berlaku, sistem negara akan jadi apa?
"Mana-Mana pihak kita anjurkan supaya tidak ambil tindakan sendiri dalam menghadapi apa jua situasi,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan khas pengurusan tertinggi KDN bersama pengamal media pada Isnin.
Baru-Baru ini, tular di media sosial video dan tangkap layar memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH yang didakwa dijual di rangkaian kedai serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam proses siasatan berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH oleh KK Mart cawangan Bandar Sunway di Petaling Jaya baru-baru ini.
Anwar berkata, kerajaan memberi laluan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menyifatkan isu itu tidak boleh diselesaikan melalui sebarang tindakan oleh gerombolan berasingan.
Saifuddin Nasution pula berkata, isu itu telah diselesaikan mengikut ketetapan undang-undang dan masyarakat diminta agar tidak memanjangkan perkara tersebut.
"Dalam uruskan isu rakyat ini, tiba-tiba sudah berminggu (kita) terpaksa fokus tajuk ini (isu stoking tertera kalimah ALLAH). Saya ingin jelaskan bahawa pendekatan terbaik adalah bila ada aduan, ia diselesai, disiasat dan dibawa ke muka keadilan.
"Kita perlu pandang ke hadapan dan jangan berlegar di atas polemik sama. Adakah ini isu besar? Ya dan sekarang tindakan sudah diambil," katanya.
Saifuddin Nasution, yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, parti itu di peringkat pusat akan cuba menyelesaikan krisis membabitkan kepimpinan PKR Sabah dalam masa terdekat.
"PKR adalah parti terbuka dan akan sentiasa ada dinamik termasuk di Sabah yang ada sedikit perbezaan pendapat dalam kalangan kepimpinan negeri.
"(Perkara) itu dalam pengetahuan PKR pusat dan dalam masa terdekat, kita akan cuba redakan masalah tersebut,” katanya dalam sidang media berasingan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu 15 daripada 26 Ketua Cabang PKR Sabah yang mahu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Dr Sangkar Rasam meletakkan jawatan.
Pendirian itu dinyatakan melalui akuan bersumpah mereka selain turut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN pada 17 Mac lepas. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!