Ringgit diunjur mengukuh tahun ini - BNM
RINGGIT berada dalam kedudukan baik untuk mengukuh pada 2024, didorong oleh pembaharuan struktur dan prospek pertumbuhan yang positif, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar.
Beliau juga optimis bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang 4.0-5.0 peratus pada tahun ini berbanding 3.7 peratus yang dicatatkan pada tahun lepas, dipacu oleh perbelanjaan isi rumah dan penggunaan swasta.
"Ringgit telah terkurang nilai. BNM mempunyai model untuk menganggarkan nilai yang saksama bagi ringgit dan kesemua model kita secara konsisten menunjukkan bahawa ringgit telah terkurang nilai.
"Nilai semasa ringgit terutamanya telah didorong oleh sentimen yang kita percaya tidak mengambil kira fakta bahawa Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan yang positif dan inflasi yang sederhana.
"Malah, dengan pembaharuan yang akan kita laksanakan, (saya percaya) daya saing ekonomi kita akan bertambah baik, sekali gus turut menyokong pengukuhan ringgit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ucapan Gabenor BNM mengenai Ekonomi Malaysia dan Perbincangan Panel yang diadakan sempena pengumuman Laporan Tahunan BNM 2023 di sini pada Isnin.
Mengulas selanjutnya, Marzunisham berkata, BNM sedang bekerjasama dengan kalangan perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan dan korporat untuk menggalakkan mereka untuk tidak hanya membawa pulang pendapatan asing, tetapi turut bertindak menukar mata wang asing.
"Kita dapat melihat (kesan) beberapa sokongan positif daripada mereka dan berharap tindakan ini secara berterusan kerana membolehkan aliran masuk yang sememangnya diperlukan ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Dr Yeah Kim Leng pula menjangkakan ringgit diniagakan dalam lingkungan RM4.50 dan RM4.60 menjelang akhir 2024.
Beliau berkata, asas-asas Malaysia berkaitan ringgit juga kukuh, termasuk peningkatan lebihan akaun semasa dan eksport.
"Lebih penting lagi adalah pertumbuhan dan pelaburan mampan yang turut menjadi asas penting dalam menyokong nilai ringgit.
"Kita juga positif bahawa ringgit akan pulih dengan sebahagian besarnya disokong oleh keadaan prestasi sebaliknya dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan ekonomi AS yang kian lemah dan menyebabkan mereka perlu menurunkan lagi kadar faedah," katanya.
Yeah berkata bank pusat iaitu Rizab Persekutuan AS juga dijangka mula melonggarkan kadar faedah utama negara itu menjelang pertengahan tahun ini dengan sekurang-kurangnya tiga pengurangan pada 2024.
"Jika AS mengurangkan kadar faedah, ini bermakna mata wangnya akan lemah dan (seterusnya) menyebabkan ringgit mengukuh,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!