Santai berbuka puasa tepi Sungai Pahang
TEMERLOH - Orang ramai di daerah ini tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama keluarga dan rakan di tepi Sungai Pahang di Esplanade Temerloh 2 di sini sepanjang Ramadan kali ini.
Dengan membawa tikar, ada juga yang membawa meja dan kerusi masing-masing demi keselesaan mereka berbuka di lokasi tersebut yang baru dibuka sejak beberapa bulan lalu.
Malah lokasi berkenaan yang berhampiran Bazar Ramadan Lurah Semantan memberikan kemudahan untuk pengunjung mendapatkan menu kegemaran masing-masing.
Seorang suri rumah, Roziana Tarmiti, 50, berkata, panorama indah Sungai Pahang menjadikan ia satu kelebihan berbanding lokasi-lokasi lain di sini.
"Kali pertama datang dengan keluarga pada minggu lepas sekadar nak cuba suasana di tempat terbuka.
"Rupanya seronok juga lagi pun rasa lebih santai, selain beli makanan di bazar, turut bawa masakan dari rumah," katanya.
Bagi Mohd Aliff Aidid, 21, lokasi tersebut tidak sesak dan selesa untuk orang ramai berbuka.
"Ini kali kedua saya datang ke sini dan seronok sebab suasananya selain dapat mencuci mata melihat sungai," ujarnya.
Seorang pelajar, Raziq Shah Putra Heri, 20, juga menyifatkan lokasi tersebut berhampiran sungai menjadikan suasana lebih berangin memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Sementara itu, dua sahabat, Farisya Suhaimi, 20, dan Nor Ain Nabilah Aqilah Mohd Zaidi, 20, mengakui suasana di lokasi menarik perhatian mereka.
"Selain itu, boleh healing, tenang dengan keadaan sungai dan diterangi kerlipan lampu menjadikan lokasi ini menarik untuk dikunjungi sambil berbuka puasa," tambah mereka.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!