Kenapa masih ramai jadi mangsa tipu pelaburan
KETIKA ramai mendapat pendedahan mengenai pelaburan melalui kecanggihan teknologi semasa, pada masa itu juga semakin banyak penipuan berkaitan aktiviti itu dilaporkan.
Tawaran pulangan kompetitif berbanding simpanan biasa menyebabkan ramai menjadi mangsa skim penipuan pelaburan.
Pada 2023, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan bahawa kes pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah kerugian paling tinggi sebanyak RM421 juta.
Ia bukan satu jumlah kecil kerana melibatkan jutaan ringgit dan perkara tersebut membimbangkan.
Banyak iklan berkaitan pelaburan di aplikasi media sosial dengan menunjukkan bukit kononnya ahli yang menyertai skim yang ditawarkan telah mendapat keuntungan setiap hari.
Modus operandinya adalah menggunakan akaun media sosial berbeza dan memuji skim pelaburan telah memindahkan keuntungan ke akaun masing-masing dan menunjukkan bukit transaksi yang telah disunting.
Selain itu, pulangan pelaburan lumayan tidak masuk akal dalam masa singkat tanpa sebarang risiko juga menjadi tarikan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada tahun lalu dan ia mewakili peningkatan ketara sebanyak 321 peratus sepanjang lima tahun lalu dari 2019 hingga 2023.
Menerusi Laporan Tahunan 2023, SC menjelaskan bahawa pihaknya hanya menerima 774 aduan dan pertanyaan berhubung aktiviti terbabit pada 2019.
Apa yang menjadi persoalan adakah disebabkan keterdesakan hidup seseorang itu sanggup melabur dalam skim yang menjanjikan pulangan tinggi walaupun tidak mempunyai jaminan daripada Bank Negara Malaysia dan SC.
Mungkin juga ketamakan menyebabkan mereka akhirnya tersungkur di tangan sindiket penipuan pelaburan ini.
Justeru antara langkah yang boleh diambil bagi membanteras penipuan pelaburan ini ialah memastikan lebih banyak maklumat tentang ilmu pelaburan dan ciri-ciri skim tidak sah didedahkan kepada umum.
Orang ramai juga perlu lebih peka dan membuat semakan dulu di pelbagai platform disediakan seperti PDRM, BNM dan SC.
Selain itu, pihak berkaitan seperti SC dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu bekerjasama lebih rapat bagi menyekat dan memadam sebarang bentuk iklan serta laman web pelaburan tidak sah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!