Reformasi institusi pada tahun 2019
TAHUN 2019 sudahpun melabuhkan tirainya dan kita kini telah menyambut kedatangan tahun 2020.
Tahun 2020 adalah tahun penuh kedua Malaysia Baharu iaitu Malaysia yang tidak diperintah oleh Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bersejarah.
Seperti kita tahu, kerajaan yang sedia ada telah memenangi pilihan raya atas janji-janji yang termasuk janji-janji berkenaan dengan reformasi institusi.
Setakat ini, ada pihak yang mengatakan bahawa perubahan berkenaan dengan reformasi institusi itu masih belum memuaskan.
Ada yang mengatakan bahawa tiada beza antara Malaysia Baharu dengan yang lama.
Kenyataan seperti itu adalah tidak adil. Sebenarnya terdapat banyak perkembangan positif dalam reformasi institusi.
Ya, mungkin boleh dipersoalkan tentang kadar perubahan yang berlaku tetapi sukar sebenarnya untuk berhujah secara objektif bahawa tidak ada perubahan langsung.
Pada tahun 2019 sahaja, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan.
Awal tahun 2019, Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda untuk membenarkan parti politik bergiat di institusi pendidikan tinggi.
Kesatuan mahasiswa atau student unions juga kembali bermula di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tentang kebebasan bersuara pula, 2019 menyaksikan Akta Berita Tidak Benar dimansuhkan selepas rang undang-undangnya diluluskan oleh Parlimen pada akhir tahun lepas.
Itu perkembangan baik untuk kebebasan bersuara secara amnya dan buat media secara khususnya.
Keterbukaan dan kebertanggungjawaban mereka yang memegang jawatan awam juga telah ditambah baik.
Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan resolusi untuk mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka.
Anggota pentadbiran dan ahli Parlimen kerajaan telah kesemuanya membuat pengisytiharan tersebut dan untuk kali pertama dalam sejarah negara, kita tahu aset dan pendapatan ahli jemaah menteri.
Malangnya, Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) tidak dapat ditubuhkan pada tahun ini.
Namun demikian, rang undang-undang suruhanjaya tersebut telahpun melalui satu Jawatankuasa Terpilih Khas yang dianggotai ahli Parlimen.
Jawatankuasa itu telah membuat sesi rundingan dan maklum balas dengan pelbagai pemegang taruh.
Proses perundangan melalui konsultasi dan pertimbangan berhati-hati seperti itu adalah penting buat undang-undang untuk memastikan bahawa undang-undang yang digubal benar-benar berkesan.
Terdapat juga penambahbaikan lain dalam perundangan pada tahun 2019, seperti pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman yang antara lain membenarkan protes jalanan dilangsungkan.
Sudah tentu, reformasi paling besar pada tahun 2019 adalah pindaan bersejarah ke atas Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur kelayakan mengundi dan kelayakan menjadi calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun, selain membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.
Itu adalah antara beberapa perubahan pada 2019. Tetapi sudah tentu itu tidak mencukupi. Terdapat banyak lagi janji yang masih belum ditunaikan berkenaan dengan reformasi institusi dan undang-undang.
Rakyat begitu mengharapkan bahawa kerajaan akan memenuhi janji-janji itu.
Kita berada di landasan yang betul berkenaan dengan reformasi institusi dan undang-undang. Tetapi rakyat mahu lebih daripada itu.
Oleh itu, kerajaan harus terus meyakinkan rakyat bahawa mereka komited pada penambahbaikan sistem perundangan dan institusi awam.
Jika 2019 menyaksikan beberapa perubahan positif, jadikan 2020 tahun yang benar-benar bersejarah mengenai reformasi institusi dan undang-undang.
Mungkin boleh dipersoalkan tentang kadar perubahan yang berlaku tetapi sukar sebenarnya untuk berhujah secara objektif bahawa tidak ada perubahan langsung."
*Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!