Menang kes berebut batu angkasa

Meteorit yang jatuh di tanah persendirian di Uppland, utara Stockholm pada 7 November 2020. Foto Agensi
Meteorit yang jatuh di tanah persendirian di Uppland, utara Stockholm pada 7 November 2020. Foto Agensi
A
A
A

STOCKHOLM - Seorang pemilik tanah di Sweden menang kes luar biasa di mahkamah melibatkan batu meteorit seberat 14 kilogram.

Keputusan berpihak kepada Johan Benzelstierna von Engeström selepas hakim Mahkamah Rayuan Svea mendapati objek angkasa itu sebagai 'harta tidak boleh dialih' dan menjadi sebahagian daripada tanah tempat ia dijumpai.

Tuntutan itu dibuat selepas meteorit itu jatuh di tanah persendirian di Uppland, utara Stockholm pada 7 November 2020.

Sebulan selepas itu, dua ahli geologi menjumpai objek tersebut dan menyerahkannya kepada Muzium Sejarah Semula Jadi di ibu kota.

Benzelstierna von Engeström kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Daerah Uppsala pada Disember 2022, namun hakim memberi hak batu itu kepada dua individu, Andreas Forsberg dan Anders Zetterqvist yang membuat penemuannya.

Pada minggu lalu, Hakim Robert Green menyatakan meteorit itu wajar dianggap sebagai sebahagian daripada harta tidak boleh dialih seperti batu lain walaupun ia adalah sesuatu objek asing bagi bumi.

Undang-undang Sweden digelar sebagai 'Allemansraetten' memberi kebebasan bergerak selagi alam semula jadi dan haiwan 'dihormati'.

"Tetapi, ia tidak memberi hak kepada sesiapa untuk mengambil batu meteorit dari tanah milik orang lain. Tiada bukti ada perjanjian tentang hal itu seperti didakwa pihak yang membuat penemuan tersebut," jelas Mahkamah Rayuan itu dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!