Gencatan senjata di Gaza: Pemimpin dunia perlu rangka tindakan lebih tegas
SHAH ALAM - Satu rangka tindakan yang lebih tegas perlu dilaksanakan pemimpin dunia bagi menghalang rampasan tanah dan harta benda oleh rejim Zionis ke atas warga Palestin susulan keputusan gencatan senjata di wilayah berkenaan.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, ia berikutan dasar aparteid yang mendiskriminasikan manusia disebabkan latar belakang agama, bangsa dan budaya adalah zalim serta tidak bertamadun.
Menurutnya, pembunuhan beramai-ramai warga Palestin berkenaan merupakan satu malapetaka kemanusiaan terburuk pada abad ini.
“Alasan mempertahankan diri oleh Zionis adalah lemah jika dibandingkan dengan ancaman yang amat terhad boleh diberikan gerakan Hamas.
“Pendirian yang jelas oleh kerajaan Malaysia seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan ia selari dengan komuniti antarabangsa.
“Syabas! Warga Malaysia bersama Perdana Menteri, suara kita mendapat perhatian dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu buat pertama kali sejak Perang Gaza tercetus lebih lima bulan lalu.
Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini berulang kali menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi bertujuan memberi tekanan kepada sekutu kuatnya, Israel akhirnya mengambil pendirian berkecuali manakala 14 negara anggota tetap UNSC sepakat menyokong draf tersebut.
Mengulas lanjut, Amidi berkata, resolusi gencatan senjata itu perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai warga Palestin terkorban akibat serangan Zionis yang berterusan.
“JPPA percaya resolusi ini memberikan kelegaan kepada mereka yang dilayan seperti anjing kurap oleh rejim Zionis,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!