Betullah saya dah kahwin, apa salahnya? - Safee Sali
KUALA SELANGOR - Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita lain.
Safee atau nama sebenarnya, Mohd Safee Mohd Sali, 40, berkata, tiada halangan untuk mana-mana individu mahu berkahwin selagi ia sah dan menepati syarak.
"Betullah (saya sudah kahwin), apa salahnya?
"Bagi saya yang halal tiada salah, jadi kita teruskan sahaja kehidupan," katanya ketika ditemui di pekarangan lobi Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa.
Terdahulu, rumah tangga Safee dan isterinya, Fitria Elfina Maharip, 44, yang dibina sejak 11 tahun lalu terlerai talak dua di mahkamah berkenaan.
Hakim Syarie, Mohd Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, Safee tidak menyatakan secara terperinci isteri baharu yang dinikahinya pada 26 Januari lalu itu.
Safee memberitahu, pada masa ini, beliau lebih selesa untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya itu dengan bermuhasabah diri.
"Saya pun tidak lepas daripada melakukan dosa kerana masing-masing ada melakukan dosa, sebaliknya saya belajar daripada apa yang terjadi," tambahnya.
Mengulas mengenai dakwaan Fitria Elfina yang tidak dapat menemui dua anak mereka, Safee berkata, buat masa ini, tanggungjawab itu di bawah jagaannya dan ia masih dalam prosiding mahkamah.
"Alhamdulillah semua anak saya dalam keadaan sihat dan mereka pun puasa penuh (sepanjang Ramadan) ini.
"Tentunya sebagai seorang bapa, saya ingin melihat anak-anak berada dalam keadaan terbaik terutama dari segi keselamatan dan pendidikan," tambah beliau.
Sementara itu, Fitria Elfina bersyukur proses perceraiannya dengan bekas suami dipermudahkan.
Bagaimanapun, suri rumah itu berkata, beliau akan mempertahankan haknya sebagai seorang ibu untuk menjaga dua anak mereka selepas penceraian.
Dalam masa sama turut mendakwa masih belum dapat berhubung dengan anak-anaknya sejak lebih sebulan lalu.
"Saya cuba berkomunikasi dan hubungi dia (Safee) tanya tentang anak kami tetapi Safee tidak jawab.
"Setakat ini saya belum dapat berjumpa dengan anak-anak, sebagai seorang ibu tentunya saya sangat rindukan mereka.
"Harapan untuk saya jumpa anak masih tergantung dan saya akan pertahankan hak penjagaan anak-anak," ujarnya.
Sinar Harian pada 20 Mac lalu melaporkan, Fitria Elfina mengakui bekas penyerang itu mula berubah sikap selepas berkahwin lain di Thailand.
Menurut Fitria Elfina, suaminya itu mengakui sudah bernikah dengan wanita lain pada Januari tahun lalu.
Fitria Elfina sebelum ini memfailkan tuntutan hadanah terhadap Safee berhubung hak penjagaan dua anak perempuan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 18 Mac lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat atau penyelesaian pada prosiding sulh yang dijalankan berhubung tuntutan berkenaan.
Safee bernikah dengan Fitria Elfina yang merupakan warga Indonesia pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Sebelum itu, Safee juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 sebelum berpisah pada 2 April 2012 dan dia juga mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup pada perkahwinan pertamanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!