Safee Sali, Fitria Elfina sah cerai talak dua
KUALA SELANGOR - Pergolakan rumahtangga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali dan bekas isterinya sejak 11 tahun lalu akhirnya terlerai selepas sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa.
Hakim Syarie, Mohd Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.
Fitria Elfina Maharip, 44, selaku plaintif berkata, dia menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara yang dihantar Safee, 40, di aplikasi WhatsApp pada 11 Februari lalu.
"Pesanan secara berasingan dihantar ke telefon bimbit anak kami kerana telefon saya sudah dirampas.
"Lafaz itu adalah 'saya lepaskan awak dan saya ceraikan awak' dan 'sekali lagi saya ikhlas saya ceraikan awak'," katanya pada prosiding berkenaan.
Fitria Elfina memberitahu mahkamah lafaz cerai itu dilakukan Safee pada waktu dia dalam keadaan suci dan tidak mengandung.
Sementara itu, Safee memaklumkan, dia dengan niat jelas dan terang hati melafazkan cerai berkenaan sebelum ini.
Beliau memberitahu, lafaz itu dibuat ketika beliau berada dalam keadaan tenang dan berfikiran waras tanpa dipengaruhi oleh sesiapa yang memaksa melafazkan talak berkenaan.
"Kata-kata perceraian itu dibuat lebih daripada sekali supaya 'terang' dan saya turut menghantar pesanan suara itu kepada abang ipar yang juga wali bekas isteri," kata bekas penyerang kebangsaan itu.
Mohd Fakhrurrazi dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengesahkan penceraian itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
"Dua lafaz talak yang dibuat defendan pada jam 12.57 tengah hari dan 1.01 petang di luar mahkamah sebelum ini adalah sah," katanya.
Safee selaku defendan diwakili peguam Syarie, Ahmad Nazib Johari, manakala peguam Syarie, Fauzan Ziman Hassan mewakili Fitria Elfina.
Dalam pada itu, mahkamah berasingan menetapkan 30 April depan bagi sebutan semula kes tuntutan nusyuz oleh Safee sebelum ini.
Sinar Harian pada 20 Mac lalu melaporkan, Fitria Elfina mengakui bekas penyerang itu mula berubah sikap selepas berkahwin lain di Thailand.
Menurut Fitria Elfina, suaminya itu mengakui sudah bernikah dengan wanita lain pada Januari tahun lalu.
Fitria Elfina sebelum ini memfailkan tuntutan hadanah terhadap Safee berhubung hak penjagaan dua anak perempuan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 18 Mac lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat atau penyelesaian pada prosiding sulh yang dijalankan berhubung tuntutan berkenaan.
Safee Sali bernikah dengan Fitria Elfina yang merupakan warga Indonesia pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Sebelum itu, Safee juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 sebelum berpisah pada 2 April 2012 dan dia juga mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup pada perkahwinan pertamanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!