Penyelia, pembantu pusat pemulihan didakwa pukul pelatih
SEREMBAN - Penyelia dan pembantu sebuah pusat pemulihan dadah di Nilai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pelatih lelaki pusat itu pada minggu lalu.
Tertuduh M Jason Jai Ganesh, 48 dan Kelvin Raymond, 26, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan tertuduh bersama-sama dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki berusia 38 tahun menggunakan senjata sebatan paip PVC.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 19 Mac lalu jam lebih kurang 11 pagi di dalam sebuah pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng, Nilai.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan manakala tertuduh diwakili peguam, Patrick Samuel.
Patrick dalam rayuannya memohon kebenaran supaya anak guamnya mendapatkan pemeriksaan psikiatri berikutan kecederaan dilakukan mereka terhadap mangsa adalah ‘brutal’ dan meminta mahkamah mengeluarkan ‘gag order’ bagi menghalang media melaporkan kes itu.
Noor Syafina bagaimanapun berkata masalah psikiatri kedua-dua tertuduh itu tidak pernah dibangkitkan semasa siasatan sebelum ini.
Meor Sulaiman kemudiannya menolak permohonan Patrick berhubung 'gag order' dan menetapkan 30 April ini bagi serahan laporan perubatan dan hukuman.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!