Rasuah: Bekas pengerusi Persatuan Bola Sepak China dipenjara seumur hidup
BEKAS pengerusi Persatuan Bola Sepak China (CFA), Chen Xuyuan pada Selasa dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana menerima rasuah bernilai AS$11 juta (kira-kira RM51 juta).
Media kerajaan melaporkan hukuman tersebut sebahagian daripada tindakan membanteras rasuah dalam permainan domestik.
Akhbar People's Daily yang dikendalikan Parti Komunis pula melaporkan Xuyuan didakwa mengambil kesempatan daripada jawatannya dan badan lain untuk menerima secara haram jumlah wang daripada orang lain berjumlah 81.03 juta yuan (AS$11 juta).
"Rasuah yang diterima Xuyuan adalah 'besar' dan tindakannya disifatkan sebagai 'serius merosakkan persaingan dan ketenteraman yang adil'.
"Dia menimbulkan akibat yang serius kepada industri bola sepak negara," ujar laporan itu.
Presiden China, Xi Jinping adalah seorang yang amat meminati bola sepak dan beliau pernah meluahkan impian negaranya menjadi tuan rumah serta memenangi Piala Dunia suatu hari nanti.
Sejak memimpin negara itu, sedekad lalu, Jinping melancarkan tindakan keras terhadap rasuah yang melanda industri bola sepak domestik.
Sebagai rekod kira-kira 10 pemimpin kanan dan eksekutif CFA dijatuhi hukuman dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, agensi berita Xinhua melaporkan keputusan empat lagi kes rasuah dijangka diumumkan beberapa hari lagi.
Mereka mungkin termasuk bekas jurulatih pasukan kebangsaan Li Tie, yang rapat dengan Xuyuan.
Bekas pemain tengah Everton itu dalam dokumentari Januari lalu mengakui mengendalikan hampir A$421,000 (kira-kira RM1.9 juta) sebagai rasuah untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Li Tie juga mengakui membantu mengatur perlawanan ketika dia menjadi jurulatih kelab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!