[VIDEO] Pekerja asing cecah 2.17 juta, hampiri sasaran RMK12
KUALA LUMPUR - Bilangan pekerja asing yang bekerja di Malaysia kini mencecah 2.17 juta orang, menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, jumlah tersebut berdasarkan rekod Jabatan Imigresen sehingga 15 Mac lalu.
“Buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan keputusan untuk membekukan kelulusan kuota baharu kerana bilangan pekerja asing dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah RMK12.
“Selain itu, kerajaan juga masih dalam proses untuk memuktamadkan saringan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK) seliaan Kementerian Dalam Negeri.
“Sebarang keputusan berkenaan pembukaan semula kuota pekerja asing akan ditetapkan setelah kerajaan mendapat perincian penuh berkaitan jumlah kuota pekerja asing yang masih belum memasuki negara sebelum atau pada 31 Mei 2024 dan hasil RTK berakhir Jun 2024,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah pekerja asing yang masih diperlukan kerajaan.
Dalam pada itu, Steven memaklumkan, anggaran tenaga kerja yang diperlukan negara mencecah 308,570 orang berdasarkan dapatan yang diperoleh daripada Agensi Kawal Selia mengikut sektor.
“Kuota baharu hanya akan dipertimbangkan mengambil kira baki kuota yang masih ada dari unjuran 15 peratus tenaga kerja selepas pengemaskinian jumlah kuota pekerja asing yang aktif dan RTK 2.0.
“Baki kuota yang tinggal akan disalurkan kepada sektor atau sub sektor kritikal dan mempunyai impak yang tinggi kepada hasil ekonomi negara,” jelasnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Guan Eng mengenai tempoh penggajian pekerja asing, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, mereka hanya diberi 10 tahun dan diberi tambahan selama tiga tahun.
“Seharusnya pekerja asing bukan penyelesaian jangka panjang. Tempoh masa 10 tambah tiga tahun itu untuk peningkatan kemahiran agar boleh memberi peluang perniagaan berkembang, kemudian menggaji pekerja tempatan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!