OPR Malaysia dijangka kekal stabil pada 3.0 peratus sepanjang 2024

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

PUBLIC Investment Bank (PIVB) Research menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia kekal stabil pada 3.0 peratus sepanjang 2024.

Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata, ini selaras dengan pandangan BNM bahawa tahap OPR semasa mencerminkan pendirian dasar monetari yang menyokong serta kondusif kepada ekonomi, sejajar dengan penilaian berterusan terhadap inflasi dan prospek pertumbuhan.

Bank pusat mengunjurkan bahawa inflasi akan berlegar di antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada 2024, mencerminkan gabungan potensi tekanan inflasi yang timbul daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

"Faktor-faktor dasar dalam negeri dan pengaruh luaran menimbulkan risiko peningkatan yang ketara kepada unjuran inflasi.

"Di peringkat dalam negeri, pelarasan harga barangan keperluan khususnya dalam sektor tenaga dan makanan, boleh menaikkan harga terutamanya jika subsidi bahan api mengalami perubahan," katanya.

Pada asasnya, sebarang pelarasan akan memberi kesan langsung kepada inflasi keseluruhan walaupun dengan kemungkinan kesan jangka pendek apabila kesan asas berkurangan memandangkan bahan api adalah komponen besar dalam bakul indeks harga pengguna (CPI).

Walau bagaimanapun, tahap risiko ini bergantung pada potensi kesan riak kerana syarikat mungkin menaikkan harga untuk mengimbangi peningkatan kos, sekali gus menguatkan tekanan harga yang lebih luas, kata PIVB Research.

"Walaupun dinamik upah-harga menunjukkan potensi risiko inflasi terhadap kejadian yang tidak dijangka, namun kesan pusingan kedua itu dianggap minimum di Malaysia disebabkan penjajaran kenaikan gaji dengan pertumbuhan produktiviti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Secara luaran, BNM turut menekankan turun naik kadar pertukaran dan pergerakan harga komoditi global sebagai pemacu tambahan terhadap tekanan inflasi.

Sementara itu, faktor-faktor yang berterusan seperti ketegangan geopolitik dan gangguan cuaca boleh menyumbang kepada tekanan menaik untuk inflasi makanan.

IHP mengalami peningkatan kecil pada Februari 2024, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 1.8 peratus.

Pada masa yang sama, inflasi teras terus stabil dengan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 1.8 peratus, konsisten dengan kadar Januari. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!