Bolsonaro 'bersembunyi' di Kedutaan Hungary selama dua hari?
BRASILIA - "Jair Bolsonaro 'menginap' selama dua hari di Kedutaan Hungary di Brasilia pada bulan lalu."
Kenyataan itu dibuat peguam bekas Presiden Brazil pada Isnin ketika menafikan dakwaan bahawa beliau cuba mendapatkan perlindungan daripada siasatan undang-undang.
Ia adalah sebagai respons terhadap laporan The New York Times (NYT) yang mendakwa pemimpin berhaluan kanan itu 'bersembunyi' di kedutaan tersebut ketika masih disiasat.
Akhbar berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu turut memaparkan imej Bolsonaro berada di premis tersebut pada 12 hingga 14 Februari lalu, beberapa hari selepas pihak berkuasa merampas pasport miliknya dan memberkas dua pembantu beliau.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipaparkan NYT jelas menunjukkan beliau memasuki kedutaan tersebut pada tarikh berkenaan.
Pada 8 Februari lalu, penyiasat menerima maklumat bahawa Bolsonaro cuba melancarkan rampasan kuasa untuk menghalang pesaingnya pada pemilihan 2022, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva daripada mengambil alih kuasa.
"Beliau hanya meluangkan masa bersama diplomat yang ada di sana. Seperti kita sedia maklum Bolsonaro ada hubungan yang baik dengan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban," ujar peguamnya.
Beberapa hari sebelum 'kunjungan' itu, Orban turut menggelar Bolsonaro sebagai 'patriot yang jujur' menerusi platform media sosial.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes memberi tempoh 48 jam kepada Bolsonaro untuk memberikan alasan munasabah tentang perkara tersebut.
Difahamkan, Duta Hungary ke Brazil, Milkos Hamlai turut dipanggil untuk memberi keterangan di Kementerian Luar di Brasilia. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!