Kaji akta kekang jual dadah dalam talian - Saifuddin Nasution
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengkaji beberapa akta yang berkait dengan dadah bagi mengekang penjualan barangan terlarang itu di dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian itu akan membabitkan mana-mana akta khusus yang ada bagi mengekang jualan dadah secara dalam talian, selain mengukuhkan lagi punca kuasa kawalan terutama melalui platform e-Dagang.
Beliau berkata, kewujudan kegiatan jual beli dan transaksi membabitkan dadah menerusi platform e-dagang telah menjadi satu ancaman baharu kepada negara.
"Atas sebab itu, KPDN telah diberi tanggungjawab untuk melihat serta memperhalusi segala akta-akta sedia ada khususnya berkenaan e-dagang bagi mengekang sepenuhnya urus niaga dadah secara dalam talian.
“Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang bersidang pada hari ini di Bukit Aman bersama agensi berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Mesyuarat JKMD itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, mesyuarat itu turut menerima pembentangan mengenai kewujudan transaksi penjualan dadah menggunakan platform media sosial.
Menurut beliau, perkara itu telah diperbincangkan dan KPDN diberi tanggungjawab untuk mengkaji akta sedia ada bagi diguna pakai serta dipinda.
Tegas beliau, kerajaan melihat perkara tersebut sebagai satu bentuk ancaman baharu yang membabitkan perolehan dadah menerusi perniagaan e-dagang.
Oleh yang demikian katanya, terdapat keperluan untuk jawatankuasa itu melihat perkara tersebut secara lebih serius dan tiba masanya peruntukan akta sedia ada disemak semula.
"KPDN telah memulakan tempoh kajian terhadap akta-akta dan perundangan sedia ada berkaitan e-dagang tersebut.
"Apabila kajian ini selesai, KPDN kemudiannya akan mengangkat syor-syor pindaan membabitkan akta-akta berkaitan," ujarnya.
Tegas beliau, kerajaan perlu bertindak selangkah ke hadapan dalam isu dadah bagi menanganinya secara berkesan.
Jelasnya, jika dahulu negara tidak ada masalah penjualan dadah di media sosial, tetapi ia kini telah menjadi satu bentuk ancaman baharu.
"Bukan sekadar cecair vape yang mengandungi komponen dadah dijual secara dalam talian, malah aktiviti pemasaran dadah juga dilakukan menerusi media sosial," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!