Maqis rampas tupai salai dari Indonesia

Tupai salai yang cuba dibawa masuk oleh seorang penumpang dari Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada Selasa.
Tupai salai yang cuba dibawa masuk oleh seorang penumpang dari Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada Selasa.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk tupai salai tanpa permit import dari Indonesia, pada Selasa.

Rampasan itu dilakukan hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui bantuan mesin pengimbas dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini.

Menerusi satu kenyataan Maqis memaklumkan hasil pemeriksaan menemukan tupai salai di dalam sebuah bagasi seorang penumpang dari negara Indonesia dengan anggaran berat 8 Kilogram (kg).

"Perbuatan mengimport keluaran hasilan pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh di hukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak Maqis sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

Tambahnya, Maqis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan industri pertanian dan makanan negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!