Tiga beranak ditahan berkaitan serangan di dewan konsert Moscow
MOSCOW - Mahkamah Daerah Basman Moscow pada Isnin meluluskan penahanan tiga lagi individu yang terlibat dalam serangan pengganas pada Jumaat di sebuah dewan konsert di pinggir bandar Moscow.
Ketiga-tiga suspek yang mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu Isroil Islomov (bapa) dan dua anak lelakinya, Dilovar Islomov dan Aminchon Islomov.
Mereka menghadapi tuduhan keganasan berkumpulan dan akan ditahan sehingga 22 Mei. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup, lapor Xinhua.
Pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan Alexander Bastrykin berkata Islomovs menyediakan kemudahan untuk pengganas "apartmen untuk tempat tinggal, kereta bagi pengangkutan dan memindahkan dana".
Menurut siasatan, kedua-dua beradik itu menyertai kumpulan pengganas pada awal 2024.
Laporan media tempatan menyebut Islomov dilahirkan di Dushanbe, ibu negara Tajikistan. Isroil mempunyai kewarganegaraan Tajikistan dan permit kediaman Rusia, manakala Dilovar dan Aminchon adalah warganegara Rusia dan bekerja sebagai pemandu teksi.
Setakat ini, Aminchon menafikan dakwaan itu.
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia sebelum ini melaporkan penahanan 11 suspek yang dikaitkan dengan serangan pengganas, empat daripadanya melakukan serangan itu.
Serangan pengganas pada Jumaat berlaku di Dewan Bandaraya Crocus di pinggir bandar Moscow, yang meragut 139 nyawa dan 182 cedera setakat ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!