Nidzam mahu dua pembantu
PEMBANTU pengendali baharu Selangor FC masih dalam pemilihan pengendali kelab itu Nidzam Jamil, kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Datuk Dr Johan Kamal Hamidon.
Katanya, kelab itu memberi 100 peratus tanggungjawab kepada pengendali berusia 43 tahun itu untuk memilih individu yang akan membantunya dalam mengendali skuad Gergasi Merah bagi musim ini.
“Kita akan membawa masuk dua ke tiga pegawai baharu, Nidzam sedang meneliti resume, kita memberi mandat dan tanggungjawab ini kepada Nidzam untuk memilih sendiri siapa yang perlu ada dalam barisan beliau.
“Ada beberapa calon, berkemungkinan ketua jurulatih akan bawa masuk seorang penolong jurulatih dari luar negara, antaranya beliau (calon) pernah menjadi pemain di Malaysia zaman Nidzam, dari Australia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Selangor FC di Petaling Jaya, pada Isnin.
Sementara itu, Nidzam mahu seorang jurulatih tempatan dan seorang jurulatih luar membantunya untuk memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.
“Kita ada kenal pasti calon, kita akan bawa masuk jurulatih dari luar dan seorang tempatan, dalam masa sama kita kena ada jurulatih tempatan untuk mantapkan Selangor FC.
“Kriteria paling penting untuk bakal pembantu jurulatih ialah dia berpengetahuan luas, tahu hala tuju Selangor FC, jelas tentang cita-cita kami, dan ada pengalaman di peringkat Asia,” katanya.
Sebagai rekod, Nidzam yang merupakan pengendali sementara Selangor FC diumumkan secara rasmi selaku ketua jurulatih pasukan itu bagi musim 2024/25 pada 16 Mac lalu.
Skuad Gergasi Merah sebelum ini dibimbing Tan Cheng Hoe dengan dibantu Nidzam dan Roman Marcote, bagaimanapun bekas pengendali Harimau Malaya dan Kedah tersebut kini bersama kelab Liga 1 Thailand, Police Tero FC. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!