Keluarga asnaf ceria dapat beraya di rumah baharu

Mohamad (lima dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Saa'din dalam majlis yang diadakan di Seberang Jaya, pada Selasa.
Mohamad (lima dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Saa'din dalam majlis yang diadakan di Seberang Jaya, pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiga keluarga asnaf di menzahirkan rasa syukur selepas menerima rumah baharu melalui Skim Inapan Kasih sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Lebih bermakna, mereka dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakak tiba tidak lama lagi di rumah baharu bersama keluarga tersayang.

Bagi Balkish Md Hanapiah, 56 berkata, bantuan ruma yang diberikan oleh ZPP telah memberikan sinar baru kepada dia dan empat orang anaknya untuk menjalani kehidupan lebih selesa.

Menurut ibu tunggal yang hanya bekerja sebagai pembantu tukang masak itu, sudah lama dia dan ahli keluarganya menumpang di rumah bapanya bersama anak saudara dan adik yang belum berkahwin namun kini dia telah memiliki kediaman sendiri.

"Memang rasa terharu, gembira dan sangat bersyukur kerana ibarat impian jadi kenyataan.

"Dah lama mengharapkan ada rumah sendiri kerana sebelum ni hanya menumpang sahaja di rumah bapa dan sekarang kami anak-beranak sudah tidak sabar lagi untuk membuat persiapan bagi menyambut hari raya tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kuala Mengkuang di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Balkish menerima penyerahan kunci rumah baharu dari Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Datuk Amran Hazali.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Saa'din Hashim, 57 yang sebelum ini tinggal bersama keluarga mertua di Permatang Kerai Besar, Pokok Sena kini boleh menarik nafas lega apabila menerima bantuan rumah yang bernilai RM80,000 di Seberang Jaya.

Mohamad ketika meninjau keadaan rumah Skim Inapan Kasih yang telah siap dibina.
Mohamad ketika meninjau keadaan rumah Skim Inapan Kasih yang telah siap dibina.

Saa'din yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Kulim berkata, kini kehidupannya bersama isteri dan tujuh orang akan akan lebih selesa di rumah baharu pemberian ZPP.

"Saya rasa terharu dan berterima kasih kepada ZPP kerana telah membantu menyediakan sebuah ‘mahligai’ untuk kami sekeluarga yang jauh lebih selesa berbanding rumah lama.

"Pastinya Aidilfitri kali ini paling bermakna buat kami sekeluarga apabila dapat meraikannya di rumah kami sendiri,"katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kos seunit rumah tersebut bernilai diantara RM67,000 hingga RM80,000 yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan bilik air selain menggunakan reka bentuk baharu yang lebih kemas dan selesa berbanding sebelum ini.

Katanya, pemberian rumah baharu itu adalah salah satu daripada program sumbangan ZPP dalam pengagihan wang zakat kepada asnaf dan pihaknya bercadang membina 27 buah rumah lagi lapada tahun ini untuk diserahkan kepada penerima-penerima yang layak.

"Peruntukan tahunan untuk Skim Inapan Desa adalah sebanyak RM2.016 juta dan sasaran untuk kita bina pada tahun ini ialah sebayak 30 buah yang mana tiga buah telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada penerima.

"Selain itu, kita juga memperuntukkan RM1.98 juta untuk Skim Baik Pulih yang menyasarkan sebanyak 90 buah rumah asnaf untuk dibaiki," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!