Tepung boko ubi kayu enak dinikmati

Adunan kuih tepung boko ubi kayu yang telah siap dimasak akan diasingkan untuk dibungkus di dalam daun pisang.
Adunan kuih tepung boko ubi kayu yang telah siap dimasak akan diasingkan untuk dibungkus di dalam daun pisang.
A
A
A

BESUT - Ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, kuih tradisional tepung boko ubi kayu atau digelar kuih talam di sesetengah tempat terus mendapat sambutan oleh segenap lapisan masyarakat.

Teksturnya yang lembut dan berkrim menjadikan kuih yang berasal dari Kelantan itu menjadi pilihan untuk dijadikan santapan ketika berbuka puasa.

Pembuat kuih tradisional, Gayah Yaacob, 55, kuih boko masih mendapat tempat dalam kalangan penggemarnya kerana keunikan rasanya yang lemak manis sesuai untuk dimakan semua peringkat usia.

"Kuih boko ubi kayu ini terkenal di negeri Kelantan dan Terengganu. Ramai yang tempah untuk dijadikan sebagai pencuci mulut atau dimakan ketika moreh.

"Walaupun kita ada ramai pesaing di pasaran terutamanya kuih-kuih moden, tetapi kuih-muih tradisional ini tidak kurang hebatnya dan mendapat permintaan yang tinggi lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tok Dor, di sini pada Isnin.

Kuih tepung boko ubi kayu yang telah siap dibungkus dan sedia dijual kepada pelanggan.
Kuih tepung boko ubi kayu yang telah siap dibungkus dan sedia dijual kepada pelanggan.

Menurut Gayah, generasi muda kini tidak ramai yang mahir dalam pembuatan kuih itu dan dikhuatiri ia akan lenyap ditelan peredaran masa.

"Kuih tepung boko ubi kayu ini jika dibungkus menggunakan daun pisang ia akan menghasilkan rasa dan aroma yang lebih sedap dan baunya lebih wangi.

Artikel Berkaitan:

"Banyak kuih-kuih tradisional sekarang sudah mula dimodenkan dari segi pembungkusan. Mungkin kesukaran untuk mendapatkan daun pisang.

"Namun, saya masih kekal menggunakan kaedah pembungkusan cara lama iaitu dengan membungkusnya di dalam daun pisang," ujarnya.

Gayah berkata, mengikut kebiasaan dia akan menyediakan 150 hingga 300 bungkus kuih tepung boko ubi kayu untuk diletakkan di kedai-kedai makan serta tempahan majlis-majlis tertentu pada setiap hari.

Gayah menunjukkan cara pembungkusan kuih tradisional tepung boko ubi kayu.
Gayah menunjukkan cara pembungkusan kuih tradisional tepung boko ubi kayu.

Bagaimanpun sepanjang Ramadan ini, dia memberi fokus untuk memenuhi tempahan surau dan masjid untuk majlis berbuka puasa atau moreh.

"Walaupun harga barangan semakin naik, saya masih mengekalkan harga bagi setiap sebungkus kuih ini RM1.50 sejak beberapa tahun lalu.

"Saya juga memasarkan kuih ini melalui laman sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!