Tujuh tahun jual air balang RM1 sebungkus
KULAI - Seorang peniaga air di bazar Ramadan Temenggung di sini, menjual air seringgit sebungkus kerana mahu berkongsi rezeki dengan orang ramai pada bulan Ramadan.
Sebanyak tujuh balang air pelbagai perisa dijual dengan harga seringgit sebungkus dan akan 'licin' setiap hari.
Mohd Affizi Md Anuar, 39, berkata, usahanya menjual air seringgit sebungkus itu sudah dilakukan sejak tujuh tahun lalu.
"Saya masih menjual dengan harga RM1 walaupun sekarang harga barang meningkat selain gula juga sukar diperoleh. Pernah juga saya terpaksa guna gula premium yang harganya lebih mahal.
"Disebabkan sudah berniat untuk menjual pada harga yang murah untuk membantu ramai, saya teruskan juga jual air seringgit sebungkus. Alhamdulillah, sudah tujuh tahun, saya bertahan menjual air sebungkus RM1," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Affizi, kebanyakan pembeli merupakan pelanggan tetap yang sudah mengetahui tentang perniagaan air seringgit yang diusahakan setiap kali Ramadan.
"Setiap hari dianggarkan 400 bungkus air akan terjual. Jenis air yang dijual akan ditukar setiap hari, bagi memberi pilihan kepada pelanggan.
"Antara air yang dijual ialah air kelapa, teh bunga, blue lemon, bandung cincau, tembikai laici, anggur nata de coco, cincau dan asam boi," ujarnya.
Dia yang turut mengusahakan kedai makan di Indahpura memberitahu ada juga orang perseorangan yang membeli air balang digerainya untuk diinfak.
"Ramai juga individu persendirian yang datang sini untuk membuat infak, contohnya mereka beri RM100 untuk disedekahkan 100 bungkusan air kepada pelanggan.
"Syukur rezeki diberikan cukup luas, apabila kita memberi ALLAH mudahkan urusan dan lapangkan rezeki saya dan isteri Siti Nazura Abd Jalil, 37 dan empat anak kami," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!