Bellingham selamatkan England

Bellingham (kanan) meraikan jaringannya ketika perlawanan menentang Belgium. Foto AFP
Bellingham (kanan) meraikan jaringannya ketika perlawanan menentang Belgium. Foto AFP
A
A
A

JUDE Bellingham menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk membolehkan England mengikat Belgium 2-2 dalam perlawanan persahabatan di Wembley pada awal pagi Rabu.

England yang dibelenggu dengan masalah kecederaan merupakan antara pasukan pilihan untuk menjuarai Euro 2024 di Jerman beraksi cemerlang melakukan serangan tetapi Youri Tielemans memanfaatkan kelemahan pertahanan untuk meledak dua gol.

Pemain tengah Aston Villa itu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11 selepas kesilapan penjaga gol England, Jordan Pickford dan menanduk masuk gol kedua pada minit ke-36 pada separuh masa pertama selepas Ivan Toney menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.

Belgium terus diasak oleh England namun berjaya bertahan dengan baik sebelum Bellingham meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.

"Jude sudah tentu menjadi tajuk utama dan semangat kepada pasukan, keinginan untuk tidak kalah adalah penentu dalam mendapatkan gol lewat.

"Tetapi saya fikir seluruh pasukan menunjukkannya sepanjang perlawanan dan bangkit daripada ketinggalan," kata pengendali England, Gareth Southgate.

Southgate terpaksa bergelut dengan masalah kecederaan pemain semasa jendela antarabangsa kali ini dan masalahnya bertambah apabila pemain pertahanan John Stones terpaksa dibawa keluar pada minit awal perlawanan itu.

"Perkara yang menarik ialah beberapa pemain telah hadir secara positif daripada peluang yang mereka miliki dan kami mungkin mendapat lebih ramai pemain, tetapi aspek kecederaan tetap menjadi kebimbangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!