Tonik semangat Jerman
NICLAS Fuellkrug menanduk masuk gol pada minit ke-85 untuk memberikan tuan rumah Euro 2024, Jerman kemenangan 2-1 ke atas Belanda dalam perlawanan persahabatan di Stadium Deutsche Bank Park pada awal pagi Rabu.
Keputusan itu memberikan Jerman satu lagi keyakinan besar berikutan kemenangan 2-0 Sabtu ke atas Perancis, ketika mereka bersiap sedia untuk kejohanan Euro di laman sendiri selepas tampil dengan prestasi kurang memuaskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia juga merupakan kali pertama Die Mannschaft meraih dua kemenangan berturut-turut dalam enam aksi antarabangsa terakhir.
“Kemenangan ini memberi banyak kebaikan kepada kami. Kami bermain dengan baik, memenangi penguasaan bola dan kami menyesuaikan permainan untuk meraih gol.
“Separuh masa kedua, ia boleh menjadi sebaliknya tetapi 15 minit terakhir adalah milik kami.
“Saya rasa semangat pasukan sangat bagus. Lebih bermotivasi dengan dua kemenangan ini dan ia tanda bahawa kami bukan sahaja boleh bersaing dengan beberapa pasukan tetapi mendominasi perlawanan,” kata pengendali Jerman, Julian Nagelsmann
Jerman telah menjaringkan gol selepas hanya tujuh saat dalam kemenangan 2-0 mereka ke atas Perancis pada Sabtu tetapi kali ini lawan mereka pula yang menjaringkan gol selepas empat minit dengan Joey Veerman melakukan voli berikutan kesilapan pemain pertahanan Maximilian Mittelstaedt.
Tuan rumah, yang memiliki lebih daripada 70 peratus penguasaan bola pada setengah pertama, menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian dengan Mittelstaedt menebus kesilapannya dengan gol lencong menarik.
Pada minit ke-85, Fuellkrug menanduk masuk tendangan sudut untuk gol ke-11 peribadinya dalam perlawanan antarabangsa tersebut sekali gus memberikan kemenangan kepada Jerman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!