Kedudukan Hans Isaac ditentukan Lembaga Pengarah PSM - Hannah
SEBARANG keputusan melibatkan kedudukan Datuk Hans Isaac sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hanya boleh ditentukan lembaga pengarah perbadanan itu biarpun bekas pelakon itu dihujani kritikan susulan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Hans dilantik sebagai Pengerusi PSM sejak Jun lepas dan kontraknya dijangka tamat pada tahun depan.
"Hans Isaac telah dilantik (Pengerusi PSM) untuk tempoh dua tahun, saya percaya dalam PSM segala keputusan dibuat bersama lembaga pengarah (PSM),” katanya ketika ditemui pada majlis dialog dan ramah mesra bersama pengamal media di sini pada Selasa.
Baru-baru ini, netizen terutamanya peminat bola sepak tempatan mengkritik kepimpinan Hans sebagai Pengerusi PSM sehinggakan ada yang meminta beliau meletak jawatan apabila padang SNBJ dilihat kurang memuaskan menjelang aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman, yang akhirnya memihak pasukan lawan dengan keputusan 2-0 malam tadi.
Hannah dalam satu ciapan menerusi laman X pada Isnin menjelaskan padang SNBJ boleh digunakan setelah mendapat kelulusan Komisioner Perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) walaupun kedua-dua pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan rasmi berikutan keadaan cuaca yang sering hujan di sebelah petang dan malam sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Hannah memaklumkan PSM sedang mencari ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu perbadanan berkenaan selepas kontrak Mohd Faidz Sanusi tamat baru-baru ini.
"Jawatan CEO PSM masih terbuka, sesiapa yang berminat serta tahan lasak boleh memohon dan hantar resume kerana ia jawatan hot seat (kerusi panas),” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) sedang bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dalam melakukan saringan jantung kepada atlet di bawah program berkenaan yang menyertai Sukan Olimpik 2024 di Paris.
RTG yang diwujudkan tahun lepas merupakan projek nasional bagi memburu kilauan pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik 2024 serta edisi 2028 di Los Angeles.
Ditanya sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038, Hannah sebaliknya berkata, tumpuan utama Kementerian Belia dan Sukan ketika ini adalah untuk melabur dalam ekosistem sukan termasuk pembangunan bakat di peringkat akar umbi.
"Tiada guna kalau kita jadi tuan rumah tetapi atlet kita tidak menang apa-apa... lebih baik 'pam’ duit dalam pembangunan bakat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa mengesyorkan Malaysia boleh mempertimbangkan menjadi hos Sukan Asia 2038 sekiranya masih berhasrat menganjurkan temasya sukan bertaraf tinggi selepas menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menganjurkan Sukan Komanwel 2026. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!