Piala Thomas: BAM sedia beri ruang kepada pemain pro
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia buka peluang kepada pemain profesional bagi menguatkan barisan pemain ke saingan Piala Thomas 2020 di Denmark, Mei depan.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM selaku badan induk sukan badminton negara mahu memastikan barisan pemain terbaik yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan itu.
“Yang terbaik perlu mewakili negara sebagai badan induk, pemain profesional adalah masih pemain Malaysia. Kita mahu satu situasi yang sihat di mana ada pemain profesional dan ada pemain BAM. Akhirnya, mereka semua adalah pemain kita (Malaysia).
“Jika anda ke stadium, orang ramai akan berkata pemain profesional dan BAM berusaha untuk kejayaan Malaysia dan saya mahu lihat lebih banyak lagi. Jadi keadaan akan menjadi lebih bersemangat dengan pemain muda dan senior bermain untuk negara,” katanya.
Pasukan badminton Malaysia yang kini berada di ranking ketujuh dunia antara negara-negara sudah berada di kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Thomas.
Sebanyak 16 pasukan akan bertanding pada kejohanan Piala Thomas 2020, menyaksikan Denmark sebagai tuan rumah dan juara bertahan, China sudah pun layak secara automatik.
Kelayakan bagi pasukan Asia akan berlangsung pada 11 hingga 16 Februari ini di Rizal Memorial Coliseum, Filipina dan pasukan yang mara ke separuh akhir kejohanan kelayakan itu layak ke Piala Thomas.
Mohamad Norza dalam masa yang sama menolak spekulasi bahawa BAM akan membariskan 100 peratus pemain BAM, pada Piala Thomas nanti.
“Kita mahu wujudkan dua ‘enjin’ dari segi perkembangan badminton, profesional dan BAM. BAM adalah tempat anak muda bawah 23 tahun mencapai impian mereka melalui latihan yang lasak, ketat dan terkawal.
“Apabila sampai masanya, kita akan sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk negara, tidak mengira pemain BAM atau profesional tetapi saya akan serahkan kepada Pengarah Teknikal untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau menegaskan, sesiapa yang layak ke Piala Thomas ataupun Sukan Olimpik, tidak kira pemain profesional mahupun BAM, mereka akan berlatih bersama di bawah nama Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!