Bolehkah orang bukan Islam gunting rambut bayi dalam majlis marhaban?
BARU-BARU ini, kecoh tentang cerita orang bukan Islam dijemput untuk menggunting rambut bayi dalam satu majlis marhaban dan berendoi (seni pentas yang dipersembahkan sempena upacara mencukur rambut).
Video yang tular di media sosial itu mendapat perhatian ramai kerana merasakan perbuatan tersebut dikatakan tidak sewajarnya dilakukan oleh non-Muslim.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majlis marhaban dan berendoi antara budaya dalam masyarakat Melayu untuk menzahirkan kesyukuran atas kehadiran orang baharu.
“Kebiasaannya orang soleh dan dihormati dalam masyarakat dijemput untuk menggunting sedikit rambut sebagai simbol sebelum kemudiannya, rambut bayi akan dicukur keseluruhannya oleh orang lain.
“Ia adalah sebagai mengambil berkat orang soleh,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1982: Hukum Non-Muslim Menggunting Rambut Bayi di Majlis Marhaban dan Berendoi yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan baru-baru ini.
Dari satu sudut, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tindakan menjemput orang bukan Islam untuk majlis menggunting rambut tidaklah haram.
Malah, keberadaan mereka dalam acara berkenaan boleh dilihat dari aspek dakwah.
“Namun begitu, tindakan menggunting rambut oleh non-Muslim itu dilihat tidak sesuai dengan falsafah di sebalik majlis berkenaan yang lebih kepada ingin mengambil berkat daripada orang soleh yang dijemput untuk menggunting rambut bayi.
“Selain itu, perbuatan itu boleh menimbulkan fitnah kerana bertentangan dengan amalan kebiasaan masyarakat Islam yang mengkhususkan untuk memotong rambut bayi oleh orang soleh atau orang Islam yang dihormati dalam masyarakat,” katanya.
Apabila seseorang dikurniakan kelahiran cahaya mata, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, mereka disunatkan untuk melakukan beberapa perkara.
Antaranya seperti tahnik, memberikan nama bayi, akikah dan mencukur rambut.
“Bagi akikah, cukur rambut dan letak nama, ia lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran,” katanya.
Ia sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam satu riwayat: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih (akikah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya dan diberikan nama.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!