Abang pukul adik perempuan dipenjara 5 bulan

Penganggur dijatuhi hukuman lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Rembau di sini pada Rabu selepas mengaku salah memukul adik kandungnya, Sabtu lalu.
Penganggur dijatuhi hukuman lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Rembau di sini pada Rabu selepas mengaku salah memukul adik kandungnya, Sabtu lalu.
A
A
A

REMBAU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Rembau di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memukul adik kandungnya, Sabtu lalu.

Tertuduh, Firdaus Mohamad Khalil, 36, dari Kota membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas adik kandung perempuannya yang berusia 33 tahun, dengan cara menumbuk bahagian belakang kepala menggunakan tangan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam lebih kurang 6.30 petang, 23 Mac lalu di sebuah rumah di Kota.

Sehubungan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya,Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Mac lalu.

Mengikut fakta kes tertuduh menumbuk bahagian belakang kepala adiknya itu sebanyak dua kali di ruang dapur di sebuah rumah di Kota.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh memukul adiknya itu disebabkan benci berikutan sudah lebih kurang tiga tahun tidak bercakap dengan tertuduh.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!